KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 60 pelajar tahfiz di sini pada Majlis Jalinan Kasih Ragad Foundation #kamekprihatin.
Majlis yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak itu turut disertai oleh isteri Tun Taib, yang juga Pengerusi Tetap Ragad Foundation, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.
Menurut Ketua Operasi Ragad Foundation Sarhan Ismail, program
itu menyasarkan pengagihan bakul makanan kepada golongan yang
memerlukan tanpa mengira masa.
“Program seumpama ini merupakan inisiatif pihak kami dalam usaha mewujudkan bank makanan Ragad Foundation.
“Selain itu, ia juga diharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan sektor korporat dan individu agar mereka faham akan konsep, misi dan objektif program.
“Sekali gus meraih sokongan daripada pihak terbabit untuk turut serta dalam hasrat
yayasan ini mewujudkan bank makanan,” katanya ketika ditemui selepas majlis, pada malam tadi.
Sementara mengulas mengenai program berkenaan, katanya ia merupakan anjuran
Ragad Foundation dengan kerjasama Astana Negeri Sarawak melibatkan seramai 45 pelajar dari Madrasah Tahfiz Darul Uloom Falah-e-Darain, BDC dan 15 pelajar Madrasah Al-Khairat Kuching.
Sumbangan tersebut berupa bakul makanan dan sampul berisi wang tunai.
Sementara itu, sejurus selesai menyempurnakan penyerahan sumbangan, Tun Taib serta isteri meluangkan masa bersama kira-kira 180 tetamu jemputan untuk menunaikan solat Isya’ dan solat sunat terawih berjemaah.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak, dan
Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus.