KUCHING: Masyarakat tempatan di sini bertuah apabila berpeluang merasai air tangan, bubur lambuk buatan isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.
Menerusi Program Jelajah Bubur Lambuk anjuran Ragad Foundation, sebanyak 600 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada penduduk sekitar Kampung Lintang, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Menurut Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Samariang, Abdul Baderi Sahmat, program tersebut bertujuan untuk menyantuni masyarakat kurang berkemampuan sempena sambutan bulan Ramadan.

“Lebih istimewa, ini merupakan kunjungan pertama Toh Puan ke Kampung Lintang dan kami sangat bertuah kerana dipilih sebagai antara lokasi jelajah program ini.
“Diharap, Toh Puan akan mengunjungi kawasan ini dengan lebih kerap pada masa hadapan dan menganjurkan pelbagai lagi program kemasyarakatan,” katanya dalam ucapan ringkas program tersebut, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berharap program tersebut membawa keceriaan kepada masyarakat setempat khususnya bagi golongan kurang bernasib baik.
Pada program petang semalam itu, Toh Puan mengambil masa sekitar 30 minit, menyinsing lengan untuk memasak bubur lambuk di perkarangan Dewan Kampung Lintang, di sini.