KOTA SAMARAHAN: Sebut sahaja durian, pasti penduduk tempatan di Pulau Pinang akan merujuk kepada raja buah yang ditanam di kawasan Balik Pulau sebagai yang terbaik di negeri itu.
Ia sehebat durian Musang King – begitu juga sinonimnya durian Balik Pulau ini yang menjadi buah yang dicari-cari ketika musim durian.
Siapa sangka durian yang ditanam di Balik Pulau juga ditanam dan dijual di Sarawak, seterusnya menjadi kegemaran penduduk di kawasan ini.
Azmil Rasemi, penjual durian Kulit Hijau (Cheh Phoy) adalah antara peniaga yang tidak menang tangan apabila durian ini habis dijual setiap kali musim durian.
Jelasnya, durian Kulit Hijau mempunyai keunikan tersendiri kerana isinya berwarna kuning keemasan atau oren.
“Dari segi tekstur, durian ini mempunyai tekstur yang lembut, sangat berlemak dan berkrim menjadikan durian ini benar-benar mengenyangkan.
“Manakala dari segi fizikal, tangkai durian ini agak pendek, kulitnya agak tebal namun lebih ringan berbanding durian lain,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.
Azmil, 28, menjelaskan, ketika ini durian Kulit Hijau yang dijual sekitar RM30 hingga RM60 sebiji boleh diibaratkan sebagai pisang goreng panas.
Ini kerana katanya, setiap hari peminat raja buah itu pasti menunggu dan membuat tempahan awal untuk membeli dan menikmati keenakannya.
“Alhamdulliah, banyak durian Kulit Hijau yang kita bawa masuk setiap hari semuanya terjual, tidak pernah tidak habis,” katanya.
Selain durian Kulit Hijau, Azmil turut membawa dan menjual durian lain seperti durian Kampung dan durian Hor Lor.
Jelasnya, perniagaan menjual ketiga-tiga jenis durian itu mampu meraih keuntungan sekitar RM5,000 hingga RM6,000 sehari.
“Meskipun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun hasil jualan raja buah ini tetap mendapat sambutan menggalakkan.
“Saya mampu menjual sebanyak 600 durian tidak sampai sehari di kawasan parkir kereta di Jalan Aiman Mall, di sini,” tambahnya.
Pelbagai jenis buah itu dijual dengan harga berbeza bermula RM10 hingga RM60 sebiji dan dijual secara longgok bergantung kualiti raja buah itu.
“Saya sangat mementingkan kepuasan pelanggan.
Saya pilih buah itu terlebih dahulu. Jika durian ini rosak, saya akan jualnya dengan harga yang murah dan akan dibuang jika tidak boleh dimakan langsung.
“Jika durian ini masih dalam kualiti yang baik, ia akan dijual mengikut standard harga yang diberikan.
“Saya akan berterus-terang kepada pelanggan mengenai keadaan durian itu malah saya juga akan membuka buah durian itu jika pelanggan ingin melihat isinya,” katanya lagi.
Azmil memasarkan durian yang diperoleh dari kebun penduduk Kampung Taee, Serian, yang menjadi tumpuan persinggahan pengunjung dari Kota Samarahan dan Asajaya.
“Alhamdulillah jualan durian tetap menggalakkan walaupun PKP dan ramai juga yang tidak dapat datang membeli kerana tidak boleh merentas daerah,” jelasnya.
Dia berkata, setiap hari dia dibantu tiga saudaranya menjual buah berkenaan.
Dalam pada itu Azmil menjelaskan, dia mula menjual durian sejak 2017. “Jika belum tiba musim buah durian, saya akan beralih kepada perniagaan lain seperti menjual ikan terubuk masin,” tambahnya.
Jelas Azmil lagi, pada mulanya mereka menjual durian ini di banyak tempat seperti di kawasan Jalan Entingan, Jalan Samarindah dan sebagainya.
Namun, disebabkan kekangan yang dihadapi dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) memaklumkan mengganggu lalu lintas, kami diarah untuk ke kawasan parkir di Jalan Aiman Mall.
“Justeru, saya sangat berterima kasih kepada MPKS kerana sudah menyediakan kawasan ini untuk kami dan peniaga durian atau buah-buahan lain untuk berniaga.
“Kaedah yang dilakukan MPKS itu sangat berkesan dalam membantu masyarakat mencari pendapatan tanpa perlu rasa takut akan dikenakan tindakan,” katanya.