KUCHING: Sempena Hari Sarawak, Serapi Group telah mengagihkan sebanyak 600 mangkuk makanan autentik negeri ini iaitu Laksa Sarawak.
Sous Chef Serapi Corner Ahmad Afiq Zahid, 27, berkata, program ini merupakan antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dirancang sepanjang tahun ini.
“Serapi Corner telah lama bertapak di Kuching sebagai sebuah kedai makan sehingga mampu membuka hotel di sini.
“Jadi sebagai sebuah syarikat yang mendapat peluang berniaga di Sarawak, ini adalah cara kita untuk turut memeriahkan Hari Sarawak yang ke-60,” katanya.
Dalam pada itu, Afiq menambah, antara sebab Laksa Sarawak dipilih untuk diedarkan secara percuma adalah kerana ia merupakan menu ikonik negeri ini.
“Dengan menyediakan hidangan ini secara percuma, kita ingin mempromosikan dan memperkenalkan warisan makanan Sarawak kepada lebih ramai orang.
“Pelanggan kita juga ramai dari Semenanjung Malaysia dan luar negara, jadi secara tidak langsung, kita mampu mempromosikan makanan Sarawak secara meluas,” ujarnya.
Beliau turut berharap kerjasama dan sokongan masyarakat akan dapat bersama-sama membantu membawa Sarawak menuju ke arah kemakmuran dan kemajuan yang lebih besar.
