KUCHING: Kira-kira 6,000 anggota penguat kuasa pelbagai agensi dikerahkan bagi menghadapi kawalan keselamatan kawasan berisiko banjir di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, kesemua petugas terdiri daripada pegawai dan anggota badan kerajaan merangkumi seluruh lokasi di Sarawak terutama di kawasan pedalaman.
“Semua agensi akan bekerjasama iaitu seramai 4,854 anggota terdiri daripada 1,124 petugas bomba, tentera 488 anggota, Rela 868 anggota, Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) 1,011 anggota, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 423 anggota dan lain-lain agensi seramai 534.

“Manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) jumlah besarnya adalah 1, 245 anggota merangkumi 167 pegawai kanan dan 1,078 pegawai rendah.
“Kesemua pasukan diminta untuk bersiap-siaga dengan memastikan kesalahan kemudahan dan peralatan dalam mendepani bencana banjir sudah bersedia,” katanya pada sidang media khas di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Uggah yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menegaskan, agensi berkaitan juga bersiap-siaga menetapkan hentian makanan sebagai lokasi penghantaran bekalan makanan kepada mangsa-mangsa yang terpaksa dipindahkan akibat banjir.
Selain itu katanya, turut diaktifkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Khas di seluruh Sarawak sebagai pasukan bertindak awal mengawal keselamatan mangsa banjir di kawasan pedalaman.
“Komuniti ini (pasukan khas) akan mengkoordinasi tindak balas sekiranya berlaku banjir di kawasan kampung jauh di pedalaman kerana keutamaan kita adalah keselamatan nyawa masyarakat.
“Mereka akan menerajui mana-mana kawasan berisiko banjir supaya mangsa dapat berpindah awal ke kawasan yang lebih selamat sebelum ketibaan pasukan keselamatan.
“Jadi JPBNS juga mengambil pendekatan cepat menerusi komunikasi secara perhubungan radio supaya tidak terputus talian,” tambahnya.
Ujarnya, sebanyak 67 pasukan keselamatan ditubuhkan di kawasan luar bandar seluruh Sarawak.
Sementara itu katanya, setakat ini terdapat tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diaktifkan bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat bencana tersebut.