ARTIKEL

600,000 pengunjung hadir ke karnival usahawan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PUTRAJAYA: Memasuki hari keempat Karnival Usahawan Desa KUD@Putrajaya 2023, lebih 600,000 pengunjung telah direkodkan hadir ke karnival berkenaan, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian KUD@Putrajaya 2023 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini, Rubiah berkata beliau optimis sasaran sejuta pengunjung dapat dicapai susulan sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Saya dapati pengunjung datang berpusu-pusu untuk lihat pelbagai produk dan daya tarikan yang KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) sajikan di KUD@Putrajaya 2023.

“Saya lihat semua reruai ada pengunjung. Harapan saya bukan sekadar berkunjung tetapi belilah produk usahawan desa untuk sokong mereka,” katanya.

KUD@Putrajaya 2023 di Anjung Floria di sini bakal melabuhkan tirainya hari ini, disertai lebih 800 usahawan desa, dengan sasaran sejuta pengunjung dan transaksi RM10 juta dalam bentuk tunai serta padanan perniagaan.

Karnival berkenaan disertai semua agensi di bawah KKDW antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

Berkongsi tarikan utama karnival itu, Rubiah berkata komponen produk pelancongan luar bandar berjaya menambat hati pengunjung yang hadir apabila mereka dapat melihat lebih dekat produk terbabit.


“Dalam KUD@Putrajaya kali ini, komponen produk pelancongan luar bandar diperkenalkan. Ia merupakan sektor pembangunan ekonomi luar bandar yang berpotensi tinggi untuk dimajukan, bukan sahaja jana pendapatan tetapi beri peluang pekerjaan kepada masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau berkata komponen itu melibatkan penyertaan semua Lembaga Kemajuan Wilayah di bawah KKDW di seluruh negara.


Berkongsi harapan terhadap penganjuran KUD@Putrajaya 2023 yang memasuki edisi kesembilan itu, Rubiah mahu semua usahawan yang mengambil bahagian mendapat manfaat dan mengambil peluang mendapatkan bimbingan dan khidmat nasihat daripada pelbagai agensi di bawah KKDW bagi meningkatkan produktiviti serta mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Mana-mana pengunjung yang baru berjinak dengan bidang keusahawanan juga perlu manfaatkan peluang ini,” katanya.- BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Planetarium Negara sambut 30 Tahun Jubli Mutiara

KUCHING: Sambutan 30 tahun Jubli Mutiara Planetarium Negara sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Bulan Februari 2024 dirasmikan oleh Timbalan Menteri

BERITA TERBARU