62 projek RTP untuk Bukit Saban

BETONG: Sebanyak 62 projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) diluluskan untuk Dun Bukit Saban tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, ia inisiatif Kerajaan Sarawak untuk terus memberi tumpuan dan membangunkan kawasan luar bandar.

“Projek berkenaan termasuk 43 projek RTP di bawah peruntukan Adun, sementara 19 lagi projek dari peruntukan yang sama dari Ahli Parlimen Betong,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pelaksanaan projek RTP bersama beberapa agensi di sini, semalam.

Menurutnya, kesemua projek berkenaan akan dilaksanakan dalam dua peringkat, dengan fasa pertama melibatkan 19 projek yang sudah ditender.

Uggah yang juga Adun Bukit Saban dalam pada itu memaklumkan 17 projek RTP 2018 di kawasannya mencapai 88.2 peratus siap.

Begitu juga 27 projek RTP yang sama daripada Ahli Parlimen Betong untuk Dun Bukit Saban mencapai 88.9 peratus siap.

Ketika meninjau Rumah Linggie Keling di Sungai Langit Layar, beliau turut mengumumkan RM100,000 bajet tahun ini serta jumlah yang sama untuk tahun hadapan bagi membina tembok penahan hakisan di rumah panjang 37 pintu itu.