ARTIKEL

624 pegawai dan anggota polis ditugaskan sepanjang PRK Dun Jepak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Seramai 624 pegawai dan anggota polis ditugaskan sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Jepak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, penugasan pegawai dan anggota polis akan dibahagikan kepada lima fasa penugasan bagi PRK Dun Jepak diadakan secara aman dan lancar.

“Fasa pertama membabitkan persediaan sebelum operasi, fasa kedua membabitkan penamaan calon pada 21 Oktober. 

“Sementara fasa ketiga membabitkan tempoh berkempen pada 21 Oktober hingga 3 November, 11.59 malam, fasa keempat membabitkan hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi pada 4 November dan fasa kelima iaitu pasca pilihan raya pada 4 November hingga 6 November,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Azman berkata, pihak polis mengingatkan semua pengundi dan penyokong parti politik agar mengundi secara berdisiplin serta tidak mencetuskan sebarang provokasi semasa tempoh berkempen dan semasa hari pengundian. 

Tambahnya, parti-parti politik hendaklah megamalkan proses politik yang berintegriti.

Selain itu katanya, para pengundi dinasihati untuk keluar mengundi awal pagi secara beramai-ramai tanpa gusar akan keadaan keselamatan kerana pihak polis akan menentukan proses PRK ini dijalankan dalam keadaan aman dan tenteram.

“Para pengundi juga diingatkan agar menyemak status pendaftaran, bawa dokumen penting (kad pengenalan), dapatkan slip saluran pengundian dan kenal pasti saluran mengundi masing-masing,” katanya.

PRK Dun Jepak diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip akibat komplikasi buah pinggang pada 15 Sept lepas.

Talib, 72, adalah penyandang kerusi itu selama enam penggal sejak 1996.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak, calon GPS Allahyarham Datuk Talib Zulpilip menang dengan majoriti 4,243 undi dalam pertembungan empat penjuru melibatkan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Raba’ah Tudin, Stevenson Joseph daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan calon bebas Tuah Kazan.

PRK Jepak kali ini bakal menyaksikan pertambahan pengundi daripada 14,643 semasa PRN12 kepada 22,804 pemilih terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.

LAIN-LAIN BERITA

TYT Sarawak bulih gelar Pehin Sri

KUCHING: Tuai Pemegai Menua (TYT) Nengeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar udah nerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Satria Bintang Sarawak (S.B.S) ke

BERITA TERBARU

Kuarters lama JKR terbakar

SIMANGGANG: Sebuah kuarters lama Jabatan Kerja Raya (JKR) yang tidak berpenghuni terbakar awal pagi tadi. Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tiga (Sri Aman) Muhammad Rais