64 gelandangan diselamatkan

KUCHING: Seramai 64 orang gelandangan berjaya diselamatkan daripada 30 operasi di lapan bahagian yang dijalankan pada tahun ini, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Daripada jumlah tersebut, Bahagian Miri mencatatkan jumlah gelandangan tertinggi yang diselamatkan iaitu 26 orang (41 peratus) diikuti Kuching iaitu seramai 19 orang (30 peratus). “Manakala Bahagian Sibu mencatatkan seramai tujuh orang, Kota Samarahan (empat), Sarikei (tiga), Limbang (tiga) serta Sri Aman dan Bintulu masingmasing mencatatkan seorang gelandangan yang diselamatkan,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Isu Gelandangan di Sarawak 2021 yang diadakan secara maya, di sini, semalam. Tambah Fatimah, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, seramai 145 orang gelandangan telah dikenal pasti.

Jelasnya, bilangan tersebut meletakkan Sarawak di kedudukan ketiga di Malaysia yang mencatatkan jumlah gelandangan teramai diselamatkan.

“Antara sokongan sosial yang diberikan adalah penempatan 83 orang di enam Pusat Penempatan Sementara Gelandangan (PPSG) di Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang. “Kesemua gelandangan tersebut diberikan bantuan makanan, beg tidur dan kit kebersihan diri,” katanya.

Bagi tahun 2020, beliau mendedahkan sebanyak 83 operasi dilaksanakan dengan sejumlah 237 golongan gelandangan diselamatkan dan ditempatkan di pelbagai tempat perlindungan sementara. “Pada tahun lepas, Bahagian Kuching mencatatkan jumlah tertinggi dengan 90 gelandangan yang diselamatkan, diikuti Bintulu (43), Sibu (41), Miri (21), Sri Aman (18), Sarikei (9), Limbang (7), Kapit (2), Serian (2), Betong (2) dan Mukah (2),” katanya.

Menurut Fatimah, operasi tersebut dijalankan bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dengan agensi-agensi yang berkaitan.

Suara Sarawak