7 hero penyelamat Whale Shark Sarawak terima penghargaan khas dari Jabatan Perikanan

KUCHING: Tujuh pemancing yang berjaya menyelamatkan Ikan Yu Paus atau nama saintifiknya Rhincodon Typus di peraiaran Sarawak bulan lalu, diberikan penghargaan khas oleh Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak atas tindakan murni mereka dalam satu majlis di sini hari ini.

Mereka ialah Samarin Sharkawi 29, Mohamad Hisyamuddin Ramli 18, David Lai Ted Hap 33, Adrian Laiwee Wee 49, Zaidi Suhaili 56, Collin Sia Howe Chung 38 dan Octaviouss Jitam 53.

Samarin Sharkawi yang merupakan pemilik bot tersebut menjelaskan dia berasa gembira dan berterima kasih kepada Jabatan Perikanan Laut Sarawak kerana telah memberikan penghargaan khas kepada mereka.

“Mengingat kembali kepada kejadian tersebut saya memang terkejut pada masa itu mendapati ada ikan yu paus mendekati bot kami dan mendapati ada tali jala tersangkut di badannya, memang menjadi kebiasaanya sebagai pemancing, ikan yu paus ini selalu saya lihat di perairan, lalu tidak berfikir panjang memang kami perlu bantu ikan yu itu,” katanya kepada Suara Sarawak.

Buat Ziaidi Suhaili, dia berharap kepada semua rakan-rakan pemancing yang ada di luar sana, agar dapat melakukan perkara yang sama apabila terjumpa mana-mana hidupan laut yang memerlukan bantuan untuk diselamatkan.

“Tidak kira apa juah hidupan laut, sama ada yang terlindung, terancam atau tidak, saya berharap semua pihak khasnya rakan-rakan pemancing dapat membantu seperti mana yang telah kita lakukan ini.

“Semestinya saya berasa terharu dan berterima kasih kepada Jabatan Perikanan Sarawak di atas pemberian sijil penghargaan khas dan peralatan termasuk jacket keselamatan, peti pertolongan cemas termasuk beg kalis air kepada kami semua ,” jelasnya.

Difahamkan ikan yu paus tersebut merupakan antara hidupan marin yang terancam, dan tindakan menyelamatkannya dari mengalami kepupusan dan mati ialah satu tindakan tepat kerana harga sepasang sirip yu mempunyai nilai yang tinggi.

Dalam kejadian 1 Disember tahun lalu, tujuh pemancing tersebut yang sedang tekun menunggu umpan mereka mengena di perairan laut Sarawak telah didatangi seekor Ikan Yu Paus yang dianggarkan seberat 1.5 tan seolah-olah merayu pertolongan yang tidak terjangkau oleh fizikalnya sendiri.

Mungkin telah berbatu jauhnya berenang dalam kesulitan, namun pada hari tersebut tuannya datang apabila tujuh pemancing tersebut berjaya melepaskannya dari ikatan tali terebut, dan sikap murni mereka itu terbalas apabila ikan itu seolah-olah mengucapkan terima kasih sebelum mereka terpisah.

Sebelum ini juga mereka turut dianugerahkan Anugerah Gelaran sebagai Hero Penyelamat Whale Shark Sarawak oleh Persatuan Haiwan Malaysia dan sehingga kini video yang tular di media sosial berkenaan dengan tindakan mereka tersebut telah dipertontonkan oleh jutaan masyarakat dunia sebagai satu tindakan murni yang perlu dicontohi semua.

Suara Sarawak