
KUCHING: Tujuh wajah baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkesan menunjukkan keupayaan mereka memenangi hati rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Daripada 14 muka baharu yang ditandingi, tujuh calon yang menang ini terdiri daripada lima calon lelaki dan dua calon wanita.
Ahli Parlimen Batang Sadong yang baharu, Rodiyah Sapiee dari PBB menggantikan Datuk Seri Nancy Shukri merupakan antara muka baharu yang diumumkan oleh gabungan tersebut.
Bekas senator Datuk Seri Doris Sophia Brodie merangkap Ketua Wanita PRS berjaya memenangi kerusi Sri Aman sekali gus menjadi wanita Dayak pertama memegang jawatan sebagai ahli Parlimen.
Sementara, Datuk Willie Mongin berjaya mengekalkan kerusi Puncak Borneo di bawah tiket GPS-PBB kali ini. Sebelum ini, beliau memenanginya atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU-14.
Bagi calon PBB baharu, Mohammad Shafizan Kepli (Batang Lupar) dan Dr Richard Rapu (Betong) turut memenangi kerusi di kawasan masing-masing dengan majoriti 14,463 dan 11,302 undi.
Dalam pada itu, calon PRS Roy Angau Gingkoi dan Edwin Banta pula masing-masing memperoleh undi terbanyak di Lubok Antu dan Selangau.
Separuh daripada calon muka baharu itu bagaimanapun tidak berjaya mendapatkan kerusi yang ditandingi pada PRU kali ini.
Antara calon tersebut adalah Lideng Disen (PDP) di kerusi Mas Gading diikuti Eric Tay Tze Kok dari SUPP (Bandar Kuching), Lo Khere Chiang dari SUPP (Stampin), Giendam Jonathan Tait dari PDP (Saratok), Wong Ching Yong dari SUPP (Lanang), Clarence Ting Ing Horh dari SUPP (Sibu) dan Jeffrey Phang Siaw Foong dari SUPP (Miri).