ARTIKEL

7 pemain dari Jiangsu ke Doha

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SELEPAS kali terakhir membuat penampilan 17 tahun lepas, faktor pengalaman mungkin dilihat tidak berpihak kepada Malaysia yang memasang impian mencipta kejayaan membanggakan pada Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bermula 12 Januari ini hingga 10 Februari depan.

Namun, ramai yang tidak menyedari dalam keseluruhan 26 pemain skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon ke Doha, tujuh daripadanya merupakan anggota skuad Bawah 23 Tahun (B-23) yang melakar sejarah layak ke pusingan suku akhir Piala Asia B-23 2018 di Jiangsu, China.

Tujuh pemain itu ialah penjaga gol utama negara Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, pemain pertahanan Dominic Tan, Matthew Davies, Muhammad Syahmi Safari, pemain tengah Mohamed Syamer Kutty Abba serta pemain sayap Muhammad Safawi Rasid dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid.

Mereka antara watak utama skuad B-23 kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee di Jiangsu yang berjaya membawa Malaysia mara ke pusingan kalah mati buat julung kali selepas mengetepikan cabaran Arab Saudi dan Jordan untuk muncul naib juara Kumpulan C di belakang Iraq.

Bagi Kim Swee, penyenaraian tujuh pemain itu ke Doha membuktikan kemajuan positif yang dicapai mereka dari sudut pembangunan individu selain memberi nilai tambah kepada pasukan dari aspek pengalaman untuk menghadapi cabaran getir.

“Ini kemajuan yang baik, apabila mereka beraksi dalam kejohanan tertinggi Asia peringkat B-23 dan seterusnya ke peringkat tertinggi, senior ini pasti membantu proses pembangunan mereka, keduanya lebih baik (mereka) akan jadi perkara positif buat pasukan negara.

“Mereka ada pengalaman luas, pasti tidak akan gentar atau memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, selain bergabung dengan pemain-pemain JDT (Johor Darul Ta’zim) yang bermain di ACL (Liga Juara-juara AFC), pengalaman mereka pasti akan bantu pasukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengulas lanjut, pengendali Sabah FC berusia 53 tahun itu berkata rekod menunjukkan prestasi positif pasukan remaja akan mempengaruhi prestasi skuad senior pada masa hadapan.
“Pasukan mana sekalipun yang menjuarai Piala Dunia Remaja selepas beberapa tahun pasti pasukan senior mereka akan bertambah baik, sebagai contoh Vietnam layak ke Piala Dunia B-20 2017 dan pemain skuad itu kini merupakan pemain utama pasukan senior, kita lihat kemajuan mereka semakin baik,” katanya.

Bagaimanapun, bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu menjangkakan pasukan negara tetap akan berdepan cabaran hebat memandangkan kejohanan peringkat bawah umur dan Piala Asia sangat berbeza dari segenap aspek.

Di Jiangsu, skuad B-23 kebangsaan tewas 4-1 kepada Iraq sebelum bangkit mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Jordan dan meraih kemenangan 1-0 menentang Arab Saudi, namun perjuangan Malaysia terhenti di suku akhir selepas tewas 2-1 kepada Korea Selatan.

Kekalahan kepada Korea Selatan itu bagaimanapun berjaya dibalas anak-anak buah Kim Swee pada temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas pasukan gergasi Asia itu yang ketika itu diperkuat dengan pemain bintang Tottenham, Son Heung Min.

Ahmad Syihan, Dominic, Matthew, Muhammad Safawi dan Muhammad Akhyar kini antara pemain utama Harimau Malaya sekali gus menjadi taruhan terbaik pasukan bagi menghadapi cabaran Jordan, Bahrain dan juara dua kali Korea Selatan dalam saingan Kumpulan E di Doha.

Sementara Mohamed Syamer yang baru pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut dan Syahmi Safari merupakan antara pemain penting dengan kebolehan individu yang baik, namun lebih kerap memanaskan bangku simpanan sepanjang 2023.

Malaysia akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada 15 Januari (1.30 pagi 16 Jan waktu Malaysia) di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Jan) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik yang tidak pernah dicapai pasukan negara dalam tiga penampilan sebelum ini.
Ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.

LAIN-LAIN BERITA

JKT penolong jurulatih Kuching City FC ‘B’

KUCHING: Keterujaan buat bekas penyerang berpengalaman yang juga kapten Kuching City FC, Joseph Kalang Tie, 37, dalam menelusuri dunia bola sepak dengan persepsi berbeza. Jika

Senarai pendek pemain tenis dikenal pasti

KUCHING: Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) sudah mempunyai senarai pendek pemain terbaik ketika ini. Namun senarai itu belum dimuktamad untuk menjadikannya kepada skala lebih kecil

Wee Wern ucap selamat tinggal kepada sukan skuasy

KUALA LUMPUR: Selepas dua dekad dalam sukan skuasy, bintang skuasy wanita negara Low Wee Wern mengumumkan persaraannya secara rasmi tengah malam tadi. Pengumuman tersebut dilakukan pemain berusia 33

Tze Yong alami kecederaan tulang belakang – BAM

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan negara Ng Tze Yong mengalami kecederaan tulang belakang semasa diturunkan untuk beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, baru-baru ini.  Perkembangan itu dimaklumkan

BERITA TERBARU

Sawit naik RM3,750 setan

KUALA LUMPUR: BMI Country Risk & Industry Research (BMI), sebuah badan di bawah Fitch Solutions Group Ltd, telah membuat semakan dan menaikkan unjuran bagi harga

JKT penolong jurulatih Kuching City FC ‘B’

KUCHING: Keterujaan buat bekas penyerang berpengalaman yang juga kapten Kuching City FC, Joseph Kalang Tie, 37, dalam menelusuri dunia bola sepak dengan persepsi berbeza. Jika

Dua sahabat didakwa cubaan bunuh lelaki

KUCHING: Dua sahabat didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan cubaan membunuh seorang lelaki berusia 36 tahun dalam satu kejadian tular di media sosial