
BINTULU: Tujuh warga asing mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh dan mencuri di pelantar minyak tidak berpenghuni (unmanned platform) di perairan Bintulu 19 Mei lalu.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, kesemua tertuduh membuat pengakuan tersebut semasa sesi pendakwaan kes di Mahkamah Bintulu, Selasa lalu.
Beliau berkata, kesemua tertuduh telah dituduh dengan tiga pertuduhan dengan dua pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan di bawah Akta Perikanan 1985.
“Kedua-dua pertuduhan dibuat di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Bintulu pada hari yang sama.
“Semasa pendakwaan dilakukan, kesemua tertuduh mengaku bersalah atas ketiga-ketiga pertuduhan dan telah dijatuhkan hukuman penjara 16 bulan bagi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, manakala sembilan bulan penjara di bawah Akta Perikanan 1985 serta bot dilucut hak kepada kerajaan Malaysia,”katanya.
Pada 19 Mei lalu, Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu menerima aduan pencerobohan pelantar yang telah merosakkan peralatan serta mencuri barangan di pelantar minyak tidak berpenghuni (unmanned platform) di perairan Bintulu.
Mohd Khairol menegaskan Maritim Malaysia memandang serius terhadap aktiviti jenayah dan pencerobohan ini yang berpotensi mengesankan hasil negara.
Beliau berharap hukuman ini akan memberi peringatan kepada individu atau kumpulan dari dalam negara mahupun luar negara, bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi akan kesalahan yang boleh menjejaskan kedaulatan dan kemakmuran negara, khususnya perairan negara Malaysia.