70 APM Kuching sertai pasca banjir

KUCHING: Seramai 70 Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM) Kuching turun padang bagi membersihkan kawasan pusat permindahan sementara (PSS) mangsa banjir di Dewan Serbaguna Taman Malihah dan Balai Raya Lorong 5i di Taman Desa Wira.
Anggota operasi Lkpl Khairuddin Jamel berkata aktiviti membersihkan tapak serta mengemas khemah-khemah mangsa dilakukan setelah keadaan cuaca mulai cerah selepas enam hari hujan turun berturut-turut.
Beliau yang ditemui di lokasi tampil mendedahkan pasukannya bersemangat biarpun enam hari bertapak di lokasi membantu memindahkan mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir.
“Setinggi-tinggi penghargaan buat semua pegawai dan anggota APM Kuching yang turun memberikan khidmat bakti kepada masyarakat.
“Diharapkan agar pengalaman sepanjang membantu mangsa-mangsa banjir kali ini membakar lagi semangat pasukan dalam menghadapi khidmat masyarakat pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, pasukan tersebut diterajui oleh Pengurus Operasi APM Kuching, Kapten (PA) Madihi Habib.

KHIDMAT… Beberapa anggota APM membersihkan khemah yang telah digunakan di pusat pemindahan sementara