KUCHING: Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) bakal menganjurkan Cabaran Muaythai NSIX 2022 pada 4 dan 5 Jun ini.
Dianjurkan oleh PMNS dengan kerjasama Pusat Khidmat Dun Tupong dan Persatuan Muaythai Kuching, kejohanan selama dua hari itu bakal menampilkan lapan kategori dan 70 peserta.
Ia adalah bagi merebut Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman dan Piala Belia N6 Tupong.
Menurut Pengarah Kejohanan Muaythai NSIX 2022 Azmanni Mohamed, kejohanan terbabit akan menjadi platform untuk Program Pembangunan Muaythai Kem Bakat atau Mari Mencuba Sukan Muaythai.
Katanya, penganjuran kejohanan ini bertujuan memperkenalkan dan mengembangkan sukan Muaythai di Sarawak, selain menggalakkan remaja untuk bergiat cergas dalam aktiviti sukan.
“Selain itu, ia juga dapat mengurangkan gejala tidak sihat di kalangan remaja dengan adanya promosi secara tidak langsung di dalam perlawanan pro atau amatur.
“Justeru kita berharap usaha seperti ini akan dapat membantu menjayakan matlamat dan meningkatkan kecemerlangan dalam bidang sukan Muaythai,” katanya.
Dalam kejohanan tersebut, antara kategori yang dipertandingkan adalah Kategori Belia (50-51 kg) S4 (18 Tahun Keatas) dan Kategori Junior (38-42 kg) S4 (13 Tahun Kebawah) bagi merebut Piala Pusingan Fazzrudin Abdul Rahman.
Tidak kurang menariknya pertembungan bagi merebut Piala Belia N6 Tupong Petra Jaya (63.5-67 kg) S4 (18 Tahun Keatas), Piala Belia N.6 Tupong Petra Jaya (63.5-67 kg) S4 (18 Tahun & Kebawah) dan Piala Belia N.6 Tupong Petrajaya (25 – 27 kg) S4 (12 Tahun).
Ia termasuk dua pertembungan utama iaitu Superfight Jemputan Borneo (7 Regu/Bout) dan Superfight Amatur Nsix Muaythai Challenge (17 Regu/Bout).
Bagi merancakkan lagi cabaran tersebut, penganjur turut memperkenalkan perlawanan istimewa bagi merebut Piala Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Kejohanan tersebut bakal berlangsung di Dewan Serbaguna Akademi Latihan Kastam Diraja Malaysia Cawangan Sarawak, Jalan Matang.
