ARTIKEL

PENERANGAN... Saifullizan ketika ditemui pemberita.

700 anggota polis pastikan Sarawak selamat sempena Krismas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 700 pegawai dan anggota polis Kontinjen Sarawak daripada pelbagai cawangan serta jabatan terlibat dalam Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Hari Krismas 2025.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP, Saifullizan Ishak berkata, kempen tersebut bertujuan memberikan kesedaran kepada orang ramai berhubung keselamatan dan pematuhan penguatkuasaan undang-undang jalan raya.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak menyantuni orang awam sambil menyampaikan advokasi keselamatan jalan raya.

“Kita mahu mewujudkan keselesaan dalam kalangan pengguna jalan raya dengan menempatkan pegawai dan anggota polis di lokasi yang sering berlaku kemalangan.

“Pada masa sama, kita mahu memastikan aliran trafik lancar dan terkawal bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Langkah ini sekali gus menguatkuasakan undang-undang serta peraturan lalu lintas sepanjang tempoh sambutan perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya Menjelang Perayaan Hari Krismas 2025 di pasar raya Farley, Batu 6, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar terus mematuhi peraturan lalu lintas serta arahan daripada anggota yang bertugas sepanjang tempoh musim perayaan.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan lalu lintas yang telah ditetapkan.

“Sentiasa utamakan keselamatan diri serta keluarga — ingat orang yang tersayang. Semoga kempen ini dapat mencapai matlamat yang disasarkan,” ujarnya.

Sementara itu, kempen berkenaan berlangsung selama enam hari bermula 23 sehingga 28 Disember 2025 di semua daerah di bawah Kontinjen Sarawak.

Dalam perkembangan lain, beliau meluahkan harapan agar keadaan banjir terus terkawal, khususnya sehingga perayaan Krismas berakhir.

“Setakat ini, keadaan masih terkawal dan selamat kerana belum ada kawasan yang dinaiki air. Namun, kesiapsiagaan telah dilakukan sekiranya berlaku situasi berkenaan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU