702 penerima bantuan JKM Dun Layar melibatkan perbelanjaan lebih RM2 juta

 KUCHING: Sejumlah 702 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dari kawasan Dun Layar dengan perbelanjaan sebanyak lebih RM2 juta untuk tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata penerima Bantuan Orang Tua (BOT) merupakan yang terbanyak melibatkan 297 orang dengan perbelanjaan RM931, 650.

“Diikuti Bantuan Am (BA) dengan 197 orang melibatkan perbelanjaan RM561,000 manakala sejumlah 82 penerima Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) dengan perbelanjaan RM235,1500.

“Sementara sejumlah 78 penerima Bantuan Kanak-Kanak (BKK) dengan perbelanjaan RM179,600, penerima Elaun Pekerja Cacat (EPC) seramai 23 orang dan perbelanjaan RM106,000 dan terakhir Bantuan Penjagaan OKU/ Pesakit Kronik Terlantar (BPT) seramai 25 orang merangkumi perbelanjaan RM101,500,” katanya.

Adun Dalat itu berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Adun Layar Gerald Rentap Jabu mengenai penerima bantuan JKM Sarawak pada Persidangan Dun di sini, semalam.

Menurut Fatimah, keseluruhan sebanyak 52, 747 penerima bantuan JKM Sarawak melibatkan perbelanjaan sejumlah RM144,887,194 untuk tempoh yang sama.

Mengenai jenis bantuan sumbangan Kerajaan Sarawak, Fatimah berkata Sarawak memberikan dua jenis bantuan penuh iaitu Bantuan Am (BA) dan Bantuan Belia Beliawanis (BBB).

“Selain itu, kerajaan negeri turut memberi bantuan tambahan kepada BKK dan BTB masing-masing sebanyak RM50 sebulan dengan setakat Oktober 2020 melibatkan perbelanjaan RM30,093,870,” katanya.

Suara Sarawak