73 pintu Rh Sebastian Ngalang Sibu dikunci serta-merta

SIBU: Terbaharu Rumah Sebastian Ngalang di Batu 6, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini pula dikenakan sekatan pergerakan susulan dua penduduknya disahkan positif Covid-19, hari ini.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit dalam satu kenyataannya sebentar tadi.
Menurut beliau, Rumah Sebastian mempunyai seramai 73 pintu dengan jumlah penduduknya 235 orang.
“Sepasukan polis tiba di Rumah Sebastian pada jam 10.40 pagi untuk meletakkan garisan polis di pintu masuk utama rumah panjang tersebut,” jelas beliau.
Stanley berkata, seramai 20 penduduk rumah panjang tersebut menjalani ujian calitan Covid-19 pada 25 Januari lalu dimana dua daripadanya positif.
Sementara itu, beliau mengesahkan sehingga kini sebanyak 58 rumah panjang di daerah ini dikenakan sekatan pergerakan merangkumi Rumah Sebastian yang terbaharu.
“Polis juga menasihatkan penduduk rumah panjang tersebut agar tidak keluar dari kawasan sekatan sehingga mendapat arahan terbaharu dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata Stanley.

DIKURUNG…Rumah Sebastian merupakan rumah panjang terbaharu di daerah Sibu dikenakan sekatan pergerakan hari ini

Suara Sarawak