742 menara telekomunikasi sedang dibina di Sarawak

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang membangunkan menara telekomunikasi baharu di 742 lokasi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar Sarawak bermula tahun ini di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sebagai usaha menaik taraf liputan internet.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan hari ini, daripada jumlah itu, 106 menara mula dibangunkan bulan ini dan baki pembinaan di 636 lokasi dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

Semua 742 menara telekomunikasi baharu itu dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2022 dengan penawaran perkhidmatan 4G, katanya.

MCMC berkata 1,283 stesen pemancar telah siap dinaik taraf dengan perkhidmatan 4G pada tahun lalu dan sejumlah 1,606 stesen pemancar lagi sedang dalam proses penaiktarafan bermula tahun ini.

“Di bawah inisiaitif JENDELA juga, MCMC turut membangunkan inisiatif penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui satelit yang sejumlah 523 lokasi telah dikenal pasti di Sarawak dan kini sedang di peringkat penilaian tender,” kata MCMC.

Bagi projek jalur lebar talian tetap pula, MCMC menyasarkan sejumlah 43,013 premis di Sarawak akan tersedia dengan akses kepada infrastruktur gentian optik bagi membolehkan perkhidmatan jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi.

MCMC dalam pada itu berkata pihaknya telah mengambil tindakan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen mengenai liputan internet lemah di kawasan pinggir bandar Kampung Batu Perak.

Susulan aduan berkenaan, pihak MCMC Sarawak telah mengadakan tinjauan di kampung itu dan ujian liputan serta hasil penilaian di lapangan mendapati liputan komunikasi adalah baik dan kemudahan jalur lebar talian tetap, turut disediakan.

“Ujian liputan mudah alih yang dijalankan mendapati kelajuan internet adalah memuaskan dan dilengkapi dengan teknologi 4G. Perkara ini turut disahkan sendiri oleh Ketua Kaum Kampung Batu Perak yang memaklumkan tiada isu komunikasi di kampung itu setakat ini,” kata MCMC. – BERNAMA

Suara Sarawak