KUCHING: Seramai 758 ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dilantik semula untuk jawatan itu bagi tempoh 1 Julai 2021 hingga 30 Jun 2022.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, dengan lanjutan tempoh perkhidmatan untuk ahli majlis berkenaan beliau berharap mereka dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.
“Perkara tersebut penting untuk memastikan perkhidmatan dapat disampaikan terus kepada rakyat dalam bidang kuasa majlis masing-masing tanpa ada gangguan.
“Tindakan segera yang diambil oleh ahli majlis berkaitan dengan masalah masyarakat setempat akan mencerminkan kepekaan dan sikap mereka dalam menyelesaikan masalah atau perkara yang dibangkitkan khususnya berkaitan dengan perkhidmatan majlis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Upacara Angkat Sumpah Pelantikan Semula Ahli Majlis PBT Sarawak secara maya yang turut disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, hari ini.