76 katil boleh laras ringan beban pesakit terlantar di Repok

SARIKEI: Keprihatinan ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii terhadap rakyat yang memerlukan di kawasannya terbukti melalui sumbangan sebanyak 76 katil boleh laras setakat ini.

Jumlah itu termasuk dua lagi katil baharu untuk warga emas, Gerang Jabu, 65, di Rumah Buni, Sare dan Wong Ching Tung@Wong Chin Tung, 85, di Jalan Jelutong Barat,semalam.

Sehubungan itu, jurucakap Pusat Khidmat N.45 Repok memberitahu, sepanjang tahun lalu, wakil rakyat itu menghulurkan sebanyak 74 buah katil untuk pesakit terlantar di DUN N.45 Repok.

“Sumbangan sebahagian inisiatif Huang untuk meringankan beban pesakit yang kebanyakannya warga emas yang terlantar selain memastikan mereka selesa dan mudah diuruskan oleh keluarga masing-masing.

“Kita gembira kerana bantuan yang dihulurkan ini, menceriakan mereka, ” katanya kepada Suara Sarawak.

Jurucakap itu berkata, selain menyampaikan sumbangan katil, wakil rakyat itu juga membantu mereka yang memerlukan melalui pelbagai pendekatan.

“Bantuan ini membuktikan keprihatinan Huang yang sentiasa memberi tumpuan untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan. Pada masa yang sama, beliau juga komited meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat Repok,” tambahnya.