KUCHING: Satu lagi kluster baharu dikesan di Sarawak iaitu Kluster Bako Hilir, Kuching.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JOBN) Sarawak berkata, Kluster Bako Hilir merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan empat buah keluarga di Kampung Bako Hilir di daerah Kuching,
“Kes indeks kluster ini ialah kes positif ke-30,628 yang melibatkan seorang perempuan rakyat Sarawak berumur 24 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala di Klinik Kesihatan Petra Jaya, Kuching pada 29 April lalu dan disahkan positif pada 30 April.
“Kes indeks yang merupakan seorang suri rumah telah mendapat jangkitan daripada komuniti dan menjangkiti ahli keluarga serta penduduk lain melalui kontak rapat dan kontak kasual,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
JPBN menambah, hasil siasatan lanjut dan aktiviti saringan pengesanan kes secara aktif melibatkan ahli keluarga dan kontak kasual kepada kes indek ini, terdapat penambahan 17 kes positif Covid-19 dengan satu kes baharu dilaporkan pada hari ini.
Sementara itu, JPBN turut memaklumkan tiga kluster diisytiharkan tamat pada hari ini iaitu Kluster Jalan Kingsway, Miri, Kluster Sungai Rassau, Matu dan Kluster Jalan Bangunan Kerajaan, Beluru setelah tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari yang lepas.
Bagaimanapun, JPBN memberitahu, sebanyak 76 kluster masih aktif di Sarawak iaitu 14 kluster merekodkan 54 penambahan kes baharu, manakala 62 kluster tidak merekodkan penambahan kes.