
KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak telah mengenal pasti 77 kawasan berisiko tinggi berlaku tanah runtuh di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kesemua jurutera bahagian di Sarawak juga telah diarahkan berbincang dengan JBPM untuk mengenal pasti, sekali gus mengkaji kawasan tersebut.
“Kemudian, kita akan memutuskan untuk mengambil langkah pencegahan bagi mengelak berlaku masalah tersebut.
“Sekiranya kawasan didapati menunjukkan risiko kepada penduduk setempat, kita akan memberi amaran kepada mereka sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu juga berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di kediaman beliau pada majlis rumah terbuka sempena Hari Krismas, di sini, hari ini.
Dalam hal berkaitan, Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) menambah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak kini dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan bersedia sekiranya berlaku kerosakan jalan raya dan jambatan yang teruk akibat hujan lebat serta banjir.
“Kita juga mengetahui, menerusi media sosial terdapat banyak aduan dari zon utara. Jadi kita sedar perkara ini dan jabatan saya sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan mana-mana infrastruktur yang rosak dibaiki dengan segera,” tegasnya.
Sementara itu, Uggah turut mengingatkan orang ramai yang bercadang untuk melawat dan menganjurkan perkelahan terutama di kawasan luar bandar supaya lebih berhati-hati susulan musim tengkujuh ketika ini.