ARTIKEL

8 ahli kumpulan Abu Sayyaf diserah kepada Filipina

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SANDAKAN: Lapan ahli kumpulan Abu Sayyaf yang ditahan pasukan keselamatan Malaysia di Beaufort pada 8 Mei lalu, diserahkan kepada pasukan keselamatan Filipina pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, berkata penyerahan itu dilakukan di perairan sempadan Malaysia-Filipina oleh Jabatan Imigresen Malaysia yang diwakili Ketua Penguatkuasa Imigresen Sandakan, Muhammad Isa Hasley kepada Western Mindanao Command dan Joint Task Force Sulu diwakili Brig Jen Arturo G Rojas.

“Penyerahan ini dilakukan pada jam 8.30 pagi tadi menggunakan kuasa mengikut Seksyen 32 (1) Akta Imigresen.

“Kita keluarkan mereka dari Malaysia, seorang daripada yang diserahkan itu adalah ‘sub-leader’ dalam Abu Sayyaf yang dikehendaki pasukan keselamatan Filipina.

“Hasil siasatan juga mendapati seorang daripada mereka mengaku terbabit dalam beberapa siri penculikan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone),” katanya kepada penyerahan tahanan itu di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Hazani tidak mengulas lanjut siapa individu terbabit dengan kegiatan penculikan di ESSZone itu.

Pada 8 Mei lalu, polis bersama pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan lapan ahli kumpulan Abu Sayyaf itu dalam operasi khas pada jam 3 pagi di kawasan paya bakau di Taman Sri Arjuna, Beaufort.

Sementara itu, Hazani berkata, pasukan keselamatan akan meningkatkan kawalan keselamatan dan risikan di negeri ini bagi mengesan jika masih ada saki-baki ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf itu yang berbaiah dengan militan Daesh.

“Kita bimbang masih ada saki-baki (pengganas) yang menjadikan Sabah tempat persembunyian dan menyampaikan dakyah kepada penduduk tempatan serta rakan senegara atau kepada pendatang haram lain,” katanya.

Hazani berkata, sejak 2014 hingga kini, pasukan keselamatan menahan 83 ahli kumpulan pengganas di Sabah. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Projek naik taraf lima jalan di Meradong siap

BINTANGOR: Penduduk lima penempatan di Meradong kini menikmati kemudahan yang lebih selesa apabila pelaksanaan lima Projek Mesra Rakyat (PMR) membabitkan kerja baik pulih jalan raya