Trending

8 jam 5 minit sehari di alam maya

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SEDARKAH kita, dalam 24 jam sehari, berapa banyak masa yang telah kita habiskan untuk bermain telefon pintar dan melayari dunia maya terutamanya media sosial?

Pernahkah kita menghitungnya? Berapa banyak akaun media sosial yang kita ada sekarang?

Saya yakin pada zaman ini hampir semua orang mempunyai media sosial dan pasti ia lebih daripada satu akaun kerana kini terdapat begitu banyak aplikasi yang boleh dimuat turun hanya di hujung jari.

Betapa menariknya media sosial bagi orang ramai, ia boleh ditakrifkan sebagai medium komunikasi yang bertujuan menyampai atau menerima maklumat melalui jaringan Internet dengan peranan utama untuk berhubung.

Media sosial dapat dipecahkan kepada beberapa bahagian besar seperti Social Networks yang digunakan untuk bersosial dan berkomunikasi.

Misalnya Facebook, Twitter dan Instagram.

Sementara media sosial yang digunakan untuk berbincang ialah Google Talk dan forum, manakala untuk berkongsi fail, video dan muzik, kebiasaannya Youtube, Slideshare, Flickr, manakala untuk penerbitan sebagai contoh Wikipedia dan blog.

Ketua Perangkaan Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peratus penggunaan Internet di Malaysia meningkat kepada 84.2 peratus pada 2019 berbanding 81.2 peratus pada 2018 dengan aktiviti paling popular dalam kalangan mereka ialah menyertai rangkaian sosial dengan 97.1 peratus.

Data terkini menunjukkan Malaysia menduduki kelompok kelima tertinggi di dunia dan teratas di Asia Tenggara dalam penembusan media sosial mudah alih.

Menurut Hootsuite and We Are Social dalam laporan terkini Digital 2019, penembusan Internet di negara kini pada tahap 80 peratus, iaitu pengguna Internet meluangkan purata lapan jam lima minit sehari secara dalam talian.

Laporan juga mendapati selama dua jam 59 minit digunakan oleh rakyat Malaysia untuk melayari media sosial, sementara laporan sebuah kajian Globalstat mendapati lebih 72 peratus penggunaan media sosial di Malaysia merupakan pengguna yang ketagihan, dengan yang paling kerap digunakan ialah Facebook.

Kajian itu menunjukkan bahawa masyarakat negara ini lebih ghairah dan obses dengan media sosial dan mereka akan sentiasa melihat atau mengintai telefon pintar dalam setiap 10 minit atau kurang.

Antaranya untuk memeriksa mesej WhatsApp dan notifikasi rangkaian lain. Pola interaksi sosial masyarakat telah mengalami perubahan yang sangat besar dengan wujudnya pelbagai media sosial yang menyajikan banyak cara komunikasi yang lebih menarik. Situasi ini menyebabkan kurangnya hubungan sosial dalam kalangan masyarakat kita.

Senario ini dapat dilihat dengan jelas apabila kita berada di restoran atau kedai makan. Orang ramai leka dan tidak lekang bersama telefon pintar masing-masing serta tidak menghiraukan orang di sekeliling. Ini membuktikan masyarakat kita semakin obses terhadap penggunaan media sosial dalam kehidupan seharian dan menjadi antara pengguna tertinggi di dunia yang ketagih. Sejauh mana ia telah mengubah pemikiran, tingkah laku dan kehidupan seharian kita?

Adakah ia mampu membawa transformasi dalam cara kita berfikir dan melihat peluang yang lebih luas?

Atau kita hanya menjadi pengguna yang hanya meletakkan hiburan sebagai keutamaan dengan lebih seronok melayan Facebook, Instagram, WeChat, YouTube, WhatsApp dan sebagainya sehingga melekakan. Namun, media sosial tidak boleh disalahkan sepenuhnya walaupun tidak dinafikan pengaruhnya amat kuat kerana dari pelbagai sudut termasuk positif kerana ia merupakan platform yang didorong oleh cara penggunaan seseorang.

Ia juga dapat memberikan banyak manfaat lain seperti memudahkan kita mendapat maklumat dan perkembangan semasa dengan pantas, mencari peluang pekerjaan, perkongsian pendidikan, mendapat kenalan baharu dan banyak lagi.

Oleh itu, kebaikan dan keburukan media sosial ini ditentukan oleh pengguna itu sendiri dengan bagaimana mereka menggunakannya dan mengawal diri daripada ketagihan.

Kita boleh mulakan dengan cuba untuk mengetepikan telefon pintar sekurang-kurangnya 30 minit atau satu jam dalam sehari.

Pastikan dalam tempoh tersebut langsung tidak mengintai sebarang notifikasi media sosial, malah lebih baik jika data Internet ditutup.

Dalam tempoh tersebut, kita boleh mencuba perkara baharu atau aktiviti menarik seperti bermain permainan tradisional, berbual dengan ahli keluarga atau rakan sekerja, membaca buku dan sebagainya.

Begitu juga apabila waktu makan sama ada di rumah atau di kedai makan, tinggalkan telefon pintar dan pastikan semua fokus menikmati makanan serta ambil peluang untuk berinteraksi sesama sendiri, sekali gus dapat meningkatkan keharmonian perhubungan.

Jangan biarkan media sosial mengawal pergerakan kita, sebaliknya kita yang perlu mengawalnya.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru