KUCHING: Dua kluster baharu diisytiharkan hari ini iaitu Kluster Mongkos, Tebedu dan Kluster Bungey, Betong.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata Kluster Mongkos merupakan kluster komuniti yang dikesan di Kampung Mongkos.
Jelasnya indeks kes kepada kluster ini adalah melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 49 tahun yang dikesan melalui saringan bergejala di sebuah klinik kesihatan di Kuching pada 16 April lalu dan didapati positif Covid-19 pada 17 April.
“Kes indeks yang bekerja sebagai chef di sebuah restoran di pusat beli-belah Vivacity telah mendapat jangkitan dari komuniti di Kuching dan telah membawa jangkitan tersebut kepada ahli keluarganya dan komuniti di Kampung Mongkos semasa kes balik ke kampung.
“Perebakan jangkitan turut melibatkan sebuah sekolah rendah di Daerah Tebedu dan sebuah sekolah menengah di Daerah Serian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya hasil saringan ke atas kontak keluarga dan kontak rapat kepada kes indek serta kontak kepada kes positif yang lain turut membawa kepada penambahan 13 kes positif Covid-19.
“Sejumlah 70 individu telah disaring dan 14 kes telah dikesan positif termasuk kes indeks, 37 kes negatif dan 19 kes masih menunggu keputusan makmal.
“Kesemua 14 individu yang didapati positif telah dimasukkan ke PKRC Serian untuk pengasingan dan rawatan lanjut,” katanya.
Manakala, JPBN berkata Kluster Bungey adalah kluster komuniti yang telah dikesan melibatkan sebuah kampung di Debak.
Katanya kes indeks kepada kluster ini merupakan seorang warga tempatan yang dikesan melalui saringan bergejala di sebuah fasiliti kesihatan.
“Kes telah menjalani saringan pada 26 April dan disahkan positif melalui ujian rT-PCR pada 28 April. Kes telah mendapat jangkitan melalui komuniti,” katanya.
Tambahnya hasil siasatan lanjut dan pengesanan kontak secara aktif dalam kalangan ahli keluarga dan kontak sosial kepada kes indeks ini turut menyaksikan penambahan 11 kes positif.
Katanya sejumlah 497 individu telah disaring dengan 12 kes dikesan positif termasuk kes indeks, 392 kes adalah negatif dan 93 kes masih menunggu keputusan makmal.
Kes indeks melibatkan kluster ini telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak manakala 11 kes positif yang lain telah dirujuk ke PKRC Betong untuk rawatan lanjut dan pengasingan.
Sementara, jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak 78 kluster, dengan 19 kluster merekodkan 145 penambahan kes baharu manakala 59 kluster tidak merekodkan penambahan kes.