MIRI: Seramai 80 penghuni rumah membabitkan 12 keluarga hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka ranap dalam kejadian kebakaran di Kampung Wireless, di sini kira-kira jam 7.15 pagi Jumaat.
Pemangku Ketua Zon 6 Jambatan Bomba dan Penyelamat Miri Terry Robson berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral yang menerima panggilan itu kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan sembilan buah rumah struktur kayu dengan enam rumah telah musnah sepenuhnya, sementara dua lagi terbakar 50 peratus dan sebuah hanya terbakar 20 peratus,” katanya.
Menurutnya, kerja-kerja mengawal dan memadam kebakaran masih dijalankan di lokasi kejadian.
Pasukan bomba bertindak membentang dua aliran 800 kaki dan enam nozel sumber air dari pili bomba berhampiran.
Pemadaman juga turut dibantu menggunakan pam angkut dan kapal nelayan milik persendirian penduduk kampung dengan satu aliran dua nozel.
Operasi pemadaman dilakukan 18 anggota masing-masing dari BBP Miri Sentral dan BBP Lopeng diketuai Komender Operasi, Edwin Siba dan Zainal Ali serta bantuan BBP Lutong diketuai Wan Sarkawi Wan Kadir.
Turut hadir di lokasi ialah Ketua Balai Miri, Bonny Martin Saging serta pegawai bomba lain, kakitangan Sesco, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Miri.