SARATOK: Pendidikan kesihatan seksual di sekolah bukan taboo, justeru masyarakat diingatkan agar mengubah persepsi memandangkan tiada peluru ajaib yang mampu menoktahkan isu berkenaan.
Bagaimanapun, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Kalaka, Mohamad Duri, perbincangan mengenai kesihatan seksual masih lagi menjadi satu taboo dalam masyarakat.

Sedangkan katanya, kajian menunjukkan pendidikan tentang pencegahan kehamilan lebih berkesan untuk mengurangkan kehamilan di luar nikah berbanding “abstinence-only education” yang digemari oleh komuniti.
“Tinjauan oleh Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) menunjukkan lebih 80 peratus remaja mengetahui tentang seks dan pencegahannya daripada kawan-kawan dan melalui Internet, berbanding daripada ibu bapa, doktor atau guru.

“Maknanya, kita memerlukan pendidikan dan pencegahan berterusan, bukan peluru ajaib.
“Dan kerajaan menganjurkan program kesedaran tentang pendidikan seksualiti bukan bererti kita menggalakkan kegiatan seks.

“Tujuannya membantu remaja dan pelajar agar peka terhadap apa yang boleh berlaku kepada tubuh badan mereka sendiri dan orang lain, serta menjelaskan akibat dan kesan yang bakal dihadapi jika remaja terjebak dengan kegiatan seks,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Intervensi Sosial: Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) Peringkat Bahagian Betong di Daerah Saratok 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Saratok, semalam.
Jelasnya, malah tiada bukti menunjukkan pendidikan seksual menyebabkan pertambahan aktiviti seksual dalam kalangan remaja.
“Maklumat dan pendedahan tentang hubungan seks selamat dan pencegahan kehamilan adalah agak terhad.
“Jika remaja tidak mempunyai pengetahuan dan akses kepada maklumat dan bahan pencegahan kehamilan yang tepat, mereka menghadapi risiko hamil apabila mereka terjebak dengan seks tidak selamat dan perhubungan yang tidak sihat.
“Kita bimbang melihat dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 apabila 154,646 remaja di Malaysia dilaporkan pernah melakukan hubungan seks, dan daripada jumlah tersebut, 75 peratus menyatakan mereka masih aktif melakukan hubungan seks.
“Lebih merisaukan, 33 peratus daripada remaja berkenaan telah mula berhubungan seks sebelum usia 14 tahun, manakala 88 peratus tidak menggunakan sebarang perlindungan atau kaedah perancang keluarga.
“Sehubungan itu, pendidikan kesihatan seksual tidak wajar lagi dianggap sebagai satu taboo oleh sekolah atau ibu bapa.
Kita perlu membimbing remaja agar menghormati tubuh badan mereka, mempunyai maruah dan memilih rakan-rakan yang mempunyai nilai yang sama,” ujarnya.
Bagi tempoh lapan tahun sejak 2016 hingga 2024 tegas Mohamad, MPS berkolaborasi dengan ahli-ahli Jawatankuasa Sehenti Kehamilan Remaja (OSTPC) Peringkat Sarawak dan Bahagian untuk mengendalikan sebanyak 75 siri program KAPS.
“Sejak itu, terdapat penurunan ketara dalam bilangan kes remaja hamil bersekolah iaitu daripada 142 kes pada 2016 kepada 78 kes pada 2024 (45.07 peratus).
“Trend penurunan ini memberi semangat kepada Kerajaan Sarawak, melalui MPS dan rakan-rakan strategiknya dalam OSTPC untuk terus mengendalikan program KAPS ini di sekolah-sekolah menengah kebangsaan di seluruh Sarawak.
“Pada tahun ini, MPS merancang untuk melaksanakan sebanyak 15 siri program KAPS di sekolah menengah kebangsaan di seluruh Sarawak, dan tiga siri program KAPS di sekolah rendah mengikut zon.
“Ini selari usaha menangani isu kehamilan remaja khasnya, Kerajaan Sarawak menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penurunan bilangan kes remaja hamil sebanyak 10 peratus setiap tahun berbanding dengan pada tahun sebelumnya.
“Statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menunjukkan bahawa tren bilangan remaja hamil sudah semakin menurun sejak 2012 iaitu daripada 3,866 kes kepada 2,000 kes pada tahun 2024, penurunan sebanyak 48.3 peratus
“Peratusan kehamilan remaja berbanding jumlah kes baharu antenatal dalam tempoh yang sama juga menunjukkan tren penurunan daripada 9.1 peratus kepada 7.2 peratus, penurunan sebanyak 1.9 peratus.
“Secara terperinci, statistik remaja hamil di Sarawak bagi tahun lalu, membabitkan 90.6 peratus (1,812 kes) remaja hamil berumur 16 tahun dan ke atas, 96.1 peratus (1,922 kes) tidak lagi bersekolah semasa dilaporkan hamil dan 63.6 peratus (1,271 kes) tidak berkahwin semasa mereka hamil,” tambahnya.
Untuk rekod program kali ini dianjurkan Pejabat Pendidikan Daerah Saratok dan SMK Agama Saratok dengan kerjasama MPS di Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti serta Pejabat Daerah Saratok.




