KUCHING: Ekspo Minggu Tenaga Antarabangsa Kelima 2023 (IEW23) bakal berlangsung selama tiga hari iaitu bermula pada 13 hingga 15 Jun ini bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty) Dr Hazland Abang Hipni berkata, acara tersebut akan menjadi platform untuk membincangkan isu peralihan tenaga, mewujudkan kesedaran dan peluang perniagaan baharu untuk mencapai hasrat bersih sifar karbon pada masa akan datang.
“Selain itu, ia juga akan membuka peluang kepada pemain industri kecil dan sederhana (PKS) untuk meneroka teknologi baharu yang dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena IEW23 yang dianjurkan dengan tema “Peralihan Ke Arah Masa Hadapan Karbon Sifar Bersih” di Bangunan Baitulmakmur, di sini, hari ini.
Tambah Hazland kira-kira 200 pempamer dan 800 delegasi dari dalam dan luar negara akan terlibat pada acara berkaitan tenaga terbesar di Borneo tersebut.
Justeru, IEW23 terbuka secara percuma kepada pengunjung yang berminat dan pendaftaran boleh dilakukan melalui laman sesawang www.iew.my manakala untuk maklumat lanjut boleh berhubung terus di laman web www.anbtarsus.com.
