83 saman dikeluarkan dalam Op Bersepadu Ambang Tahun Baharu dan Hari Krismas

KUCHING: Sebanyak 83 saman pelbagai kesalahan dan 104 notis dikeluarkan oleh Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Padawan (BSPT) malam tadi sempena dengan Op Bersepadu Ambang Tahun Baharu dan Hari Krismas lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata, operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Sehubungan itu, sebanyak 145 buah kenderaan dan 188 individu telah diperiksa.
“Disamping itu AADK turut menjalankan saringan ujian air kencing terhadap 51 individu dan menahan sembilan individu yang didapati positif dadah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, Op Bersepadu telah dijalankan bermula pada 24 Disember sehingga malam tadi.
“Pelbagai operasi dijalankan bagi di lokasi Crime Prone, perumahan dan kawasan tumpuan masyarakat serta mempertingkatkan pemeriksaan individu dan kenderaan yang mencurigakan di kawasan rondaan dalam konteks pencegahan jenayah,” katanya.
Malah, operasi berkenaan diketuai oleh Jaw Shyong bersama-sama enam pasukan terdiri daripada tujuh Pegawai Kanan Polis dan 17 anggota polis di sekitar kawasan pentadbiran IPD Padawan.

Suara Sarawak