ARTIKEL

83 tulang kaki, tangan, tengkorak manusia dijumpai di dalam longkang kawasan perumahan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIBU: Mengejutkan! Sepasukan polis, forensik Hospital Sibu dan pihak berkuasa tempatan menemui sebanyak 83 tulang daripada rangka manusia di dalam longkang di Jalan Bukit Assek, semalam.

Perkara itu didedahkan oleh ADUN Bukit Assek Chieng Jin Ek menerusi laman sosialnya semalam apabila berkongsi beberapa gambar mengenai penemuan rangka manusia itu.

Beliau berada di lokasi kejadian untuk mengikuti sendiri perkembangan mengenai kes tersebut susulan penemuan tengkorak manusia di dalam parit di situ pada Isnin lalu.

“Antara yang dijumpai ialah rangka kaki, tangan, kepala dan badan. Sebelum kerja-kerja mencari dijalankan, air longkang disedut kira-kira jam 10 pagi,” katanya.

Jelasnya, pasukan berkenaan bekerja tanpa henti dari jam 8 pagi hingga jam 4 petang sehingga berjaya menemui 83 rangka manusia.

“Saya rasa bimbang terhadap perkembangan ini dan berharap polis dapat menyelesaikan secepat mungkin,” katanya.

Chieng turut merakamkan penghargaannya kepada pihak polis, forensik hospital Sibu dan kakitangan pihak berkuasa tempatan kerana telah bekerja keras sepanjang pencarian itu dijalankan.

Pada Isnin, pekerja kontraktor Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menemui tengkorak manusia dewasa semasa membersihkan longkang.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili telah mengesahkan kes itu dan berkata tengkorak itu telah dibawa ke Hospital Sibu untuk analisis lanjut.

    Beliau juga mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

LAIN-LAIN BERITA

Salcra terima Anugerah Gangsa AIGA 2023

KUCHING: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) menerima Anugerah Gangsa pada Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA 2023). Dalam satu kenyataan hari ini,

BERITA TERBARU