KUCHING: Kegembiraan pada raut wajah Bedah Seman, 76 tahun jelas terpancar apabila rumahnya di Kampung Lidah Tanah, Batu Kitang telah di baik pulih di bawah Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).
Keadaan rumah Bedah sebelum ini dalam keadaan yang tidak selesa untuk didiami ketika hari hujan kerana terdapat kebocoran pada atap dan siling pada bahagian dapur rumah yang dimakan anai-anai.
Kata Bedah, setiap kali hujan melanda rumah, dia akan meletakkan baldi untuk menampung air hujan.
“Setiap kali hujan, saya akan menyediakan baldi untuk tampung air. Kini, saya amat senang hati kerana atap dan siling telah diganti,” katanya secara ringkas.
Sementara itu, Adun Batu Kitang, Lo Khere Chiang berkata baik pulih rumah Bedah merupakan hadiah kepadanya sempena Hari Raya Aidilfitri.
Kata Khere Chiang, sejumlah RM 10,000 telah diperuntukkan untuk baik pulih rumah tersebut melalui dana PPRMS Dun Batu Kitang.
Manakala katanya, kerja baik pulih dijalankan secara gotong-royong oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kota Padawan dan anggota Rela, Landeh.
“Saya amat senang hati dengan barisan kepimpinan masyarakat di kawasan saya yang mempunyai hati yang baik untuk menjalankan baik pulih rumah ini.
“Bagi saya ia sesuatu yang berharga dan bermakna. Tidak mudah untuk meminta orang ramai melakukan secara percuma namun mereka mempunyai hati yang baik untuk membantu,” kata Khere Chiang selepas penyerahan projek PPRMS di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, setakat ini, setakat ini, sebanyak 84 buah rumah di Dun Batu Kitang telah di baik pulih di bawah PPRMS.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 20 buah rumah adalah dari Kampung Lidah Tanah..