ARTIKEL

Dr Sim turut serta bersama peniaga bazar memasak sotong bakar (GHAZALI BUJANG)

85 gerai meriahkan Bazar Ramadan Emart Batu Kawah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bazar Ramadan tahun ini lebih signifikan kerana berlangsung serentak dengan sambutan Tahun Baharu Cina, sekali gus menarik bukan sahaja pelanggan Muslim yang membuat persiapan berbuka puasa, malah masyarakat Cina yang ingin merasai kemeriahan suasana Ramadan pada waktu petang.

Timbalan Premier Sarawak, Dr Sim Kui Hian berkata, bazar semakin berkembang sebagai simbol perpaduan yang dinamik apabila masyarakat berbilang kaum berhimpun dalam suasana perayaan yang sama.

Dr Sim mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung bazar (GHAZALI BUJANG)

“Pertemuan dua perayaan ini mewujudkan suasana unik di mana tradisi budaya dapat disatukan secara harmoni, mencerminkan semangat saling menghormati dan keterangkuman yang telah lama menjadi amalan di Sarawak.

“Justeru, saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Emart kerana menganjurkan bazar Ramadan ini di premis mereka bagi membolehkan komuniti berkumpul serta membeli makanan daripada peniaga tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi walkabout serta penyerahan topi dan apron kepada para peniaga di Bazar Emart Batu Kawah di sini, semalam.

Dr Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa memuji pihak Emart kerana menyediakan ruang yang selesa dan mencukupi untuk para peniaga serta pengunjung.

“Untuk hari pertama bazar ini, sambutannya amat menggalakkan. Kehadiran pengunjung sangat memberangsangkan dengan ramai yang keluar masuk, dan ini memberi manfaat kepada para peniaga.

“Seramai 85 peniaga membuka gerai di ruang yang disediakan dengan menjual pelbagai jenis makanan dan minuman seperti popia, apam balik, ayam panggang, sate, donat dan banyak lagi,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa sejak penubuhan Emart di Batu Kawa, kawasan tersebut jelas menunjukkan perkembangan positif, khususnya ketika musim perayaan kerana kawasan itu dipenuhi orang ramai.

“Dengan kerjasama berterusan antara pihak perniagaan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti, Bazar Ramadan ini dijangka terus menjadi tarikan utama yang mempamerkan kemeriahan ekonomi serta perpaduan di Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Sim turut sama mengedar bubur lambuk daripada Maggi kepada pengunjung bazar di sini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU