868 projek RTP dilaksana di Betong

BETONG: Dalam tempoh lima tahun bermula 2015 sehingga 2019, sebanyak 868 projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dilaksanakan di seluruh Bahagian Betong.

Ia melibatkan lapan kawasan Dun iaitu Layar, Engkilili, Bukit Saban, Saribas, Lingga, Beting Maro, Kalaka dan Kabong serta dua kawasan parlimen iaitu Betong dan Batang Lupar.

Menurut sumber, 153 daripadanya dilaksanakan di Beting Maro, diikuti Bukit Saban dengan 152 projek dan Kalaka 109 projek. Kawasan lain seperti Layar mempunyai 96 projek RTP, Saribas (90), Kabong (57), Lingga (50) serta Engkilili (23).

Namun sejak 2018 atau selepas PRU-14 ia diperluaskan kepada Ahli Parlimen yang membolehkan mereka melaksanakan pembangunan yang sama.

Maka, dalam tempoh dua tahun Parlimen Betong menerima 116 projek RTP, manakala Parlimen Batang Lupar dengan 25 projek.

Projek RTP menggunakan peruntukan kewangan sepenuhnya daripada Kerajaan Sarawak bagi membangunkan kawasan luar bandar yang dimulakan mantan Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan diteruskan oleh Datuk Patinggi Abang Johari Tun Datuk Abang Openg.

Sementara itu, projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Bahagian Betong berjumlah 76 projek secara keseluruhannya. Untuk status, 32 projek sudah siap atau 42 peratus.

Manakala 17 projek dalam perancangan, 15 projek mengikut jadual, sembilan projek mendahului jadual serta satu projek lewat jadual dan terdapat dua projek sakit. Menjelang Mac depan, Betong akan menyambut ulang tahun ke-18 sebagai Bahagian.

Suara Sarawak