88 tahun hidu bau rempah

ORANG yang sangat dekat dengan rempah-ratus ibarat orang yang berjaya mengawal alam semesta, kata penulis Amerika Frank Herbert. Rempah-ratus memainkan peranan utama dalam pengembangan dan pemeliharaan tamadun.

Seperti yang kita tahu, mereka terlibat dalam perdagangan rempah pada zaman dahulu seakanakan dapat mengawal alam semesta.

Dengan sejarah gemilang tersebut, sebuah keluarga yang menjalankan perniagaan rempah ratus di sini tidak sesekali berniat untuk menaikkan bendera putih untuk menyerah kalah perniagaan turun-temurun tersebut walaupun terjejas akibat krisis pandemik Covid-19.

Ditubuhkan sejak 1933, Yacob Sahib Trading yang terletak di Jalan Gambier berdiri teguh sebagai salah sebuah kedai rempah-ratus terbaik di bandar ini. Pemiliknya Mohamad Iskandar Abdul Kader 50 berkata, perniagaan keluarga itu diasaskan oleh datuk dan neneknya yang berhijrah dari India dan menetap di Kuching kira-kira 88 tahun yang lalu.

“Perniagaan ini sudah tiga generasi dengan ia diturunkan kepada ayah saya sebelum saya mengambil alih pada tahun 1992.

“Justeru, saya tidak berhasrat untuk menutupnya,” katanya Suara Sarawak.

Bagaimanapun beliau mengakui sejak pandemik Covid-19 bermula Mac tahun lalu, perniagaan terjejas dan mengalami penurunan sekitar 70 peratus kerana PKP yang dilaksanakan bagi mengekang  jangkitan pandemik.

“Walaupun kami dibenarkan menjalankan perniagaan, jumlah pelanggan sangat sedikit. Tetapi pada masa yang sama saya berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkannya kerana tidak mahu mengurangkan pekerja. “Kita bersyukur kerana penguatkuasaan PKP tidak lama kerana jika ia berlarutan, pasti perniagaan akan menjadi lumpuh,” jelasnya.

Beliau mengakui selepas fasa PKP, pelanggan mula mengunjungi kedainya tetapi jumlah masih kurang daripada biasa, namun masih percaya perniagaannya akan pulih seiring berjalannya waktu.

Kedai beliau menjual sekitar 60 jenis rempah dan daripada jumlah tersebut, 30 jenis produk buatan sendiri seperti rempah ayam penyet, rempah ayam bakar, rempah ayam percik, rempah masak hitam, rempah rendang dan rempah beriani. “Rempah ayam penyet ialah paling laris dengan sekitar 20 bungkus dijual setiap hari,” katanya sambil menambah turut menjual dalam timbangan berat bagi membolehkan pelanggan membeli dengan harga yang diinginkan.

Sementara seorang lagi pemilik perniagaan rempah yang lain Abdul Kalam Mohamad, 50, berkata, syarikatnya Pakkir Mohamed merupakan salah sebuah kedai yang selamat daripada kesan Covid-19.

“Ketika PKP pertama kali dilaksanakan, perniagaan saya merosot 90 peratus dan hampir muflis. “Namun selepas fasa berkenaan, perniagaan dapat berjalan lancar dan kini perlahan-lahan kembali pulih,” katanya sambil menambah perniagaan keluarga itu diasaskan oleh bapanya dan beroperasi sejak tahun 1960-an.

Selain menjual rempah dari Pulau Pinang, kedainya juga menjual produk lain seperti bawang dan herba. Sangat menyedihkan kerana pandemik Covid-19 memberikan kesan sehingga melumpuhkan ekonomi. “Seperti perniagaan saya yang menyaksikan penurunan jumlah pelanggan yang drastik. Insha-Allah kami akan terus bertahan,” katanya.