91 peratus ketua isi rumah sudah terima makanan

KUCHING: Sehingga Khamis lalu Jawatankuasa Kecil Rantai Bekalan Makanan memaklumkan 324,224 (91 peratus) daripada jumlah keseluruhan 349, 449 isi rumah di Sarawak yang telah menerima bantuan makanan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, 63 kawasan di Sarawak telah diagihkan, sementara 19 kawasan lagi dalam proses pengagihan.

Jelasnya, JPBB dapat membantu memastikan bahawa sesiapa sahaja yang layak di semua 82 kawasan sama ada di luar bandar dan pedalaman, golongan miskin bandar dan sesiapa yang tidak mempunyai pendapatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat diberi bantuan makanan untuk tempoh ini.

“Setiap kawasan diberikan peruntukan RM200,000 yang disalurkan menerusi JPBB, tidak kira sama ada kawasan tersebut berada di bawah parti kerajaan atau pembangkang. Oleh itu tiada unsur politik untuk usaha kita ini.

“Sehingga Jumaat lalu, pengagihan makanan di kawasan pembangkang masih giat dijalankan dan bantuan ini diuruskan secara berpusat oleh JPBB yang terdiri daripada Pegawai Daerah, Jabatan Kebajikan Sarawak,  agensi kerajaan berkaitan, Pusat Perkhidmatan Adun, parlimen dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau menegaskan bahawa segala dana yang diperoleh akan disalurkan dan dikendalikan oleh JPBB. Semua pembayaran kepada pembekal barang makanan melibatkan pembelian makanan akan dilakukan oleh JPBB di semua bahagian dan daerah.

“Semua senarai nama daripada pelbagai sumber seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), Pusat Perkhidmatan Adun dan Parlimen, NGO dan individu akan diserahkan kepada JPBB untuk tujuan penyelarasan dan pengesahan,” ujarnya.

Malah katanya sekiranya ada individu yang layak tetapi lewat menerima bantuan atas sebab yang tidak disengajakan, jangan ragu-ragu untuk melaporkan kepada pihak JPBB atau pejabat Bahagian Kebajikan Sarawak (PKMB) untuk tindakan segera.

Manakala untuk pengagihan bantuan makanan tersebut katanya kesemuanya dilakukan melalui laluan darat, sungai dan pengangkutan udara. “Bagi kawasan luar bandar dan pedalaman seperti Telang Usan, Murum, Mulu, Batang Ai, Meluan, Pakan, Engkilili dan Balai Ringin, yang tidak dapat dicapai dengan jalan darat, Kerajaan Sarawak telah meminta perkhidmatan helikopter, dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Hornbill Skyways.

“Sebanyak 41,859 kilogram makanan telah diedarkan melalui perkhidmatan helikopter yang memberi manfaat kepada 2,933 isi rumah.

Sejak bermulanya pengagihan pada 5 April hingga 11 April lalu, ia mematuhi peraturan PKP,” katanya lagi.

Beliau mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerja keras untuk memastikan setiap rakyat dapat menerima bantuan. “Ketiga bertugas, pegawai dan sukarelawan sentiasa terdedah kepada virus Covid-19. Oleh itu sekarang ini bukanlah masa untuk bermain politik,” tegasnya.