91 rakyat Sarawak terkandas di Papua New Guinea selamat tiba di Kuching

KUCHING: Sejumlah 106 rakyat Malaysia yang terkandas di Papua New Guinea (PNG) berjaya kembali ke tanah air hasil bantuan Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin.

Daripada jumlah tersebut, 91 orang adalah rakyat Sarawak, lima dari Sabah, manakala 10 lagi dari Semenanjung dan kesemua selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semalam.

Menurut Kim Shin, mereka ini bekerja di 33 buah syarikat di negara tersebut dalam pelbagai sektor antaranya pembalakan, perkhidmatan peruncit dan pejabat.

“Mereka ingin kembali ke Malaysia kerana telah tamat kontrak pekerjaan dan terkandas di PNG sejak Oktober lalu kerana tiada penerbangan berikutan pandemik Covid-19.

Kesemua yang terkandas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 17 Disember.

“Sebelum ini ada penerbangan transit di Singapura, tetapi ketika ini negara itu tidak membenarkan transit, maka sebuah agensi pelancongan telah menyewa penerbangan langsung iaitu Air Niugini Limited dari Lapangan Terbang Antarabangsa Port Moresby ke LTAK,” kata dalam kenyataan hari ini.

Tambah Kim Shin, penerbangan sewa berkenaan terpaksa ditunda beberapa kali dalam tempoh 13 hingga 24 November lalu kerana tiada persetujuan mengenai pengesahan Sijil Pengendali Pesawat Asing (FAOC) dari Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Katanya, berikutan pelbagai kesukaran itu salah seorang rakyat Sarawak di PNG telah meminta pertolongan beliau dengan menghubunginya melalui aplikasi Facebook Messenger.

Kim Shim segera bertindak dengan menghubungi Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia untuk mempercepat CAAM bagi pengesahan FAOC untuk membolehkan penerbangan sewa khas itu terus ke Kuching dari PNG.

Selain turut bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk urusan kemasukan kesemua penumpang itu ke Sarawak.