91 rakyat Sarawak tiba semalam

KUCHING: Seramai 106 rakyat Malaysia yang terkandas di Papua New Guinea (PNG) berjaya kembali ke tanah air hasil bantuan Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin.

Daripada jumlah tersebut, 91 rakyat Sarawak, lima dari Sabah, manakala 10 orang dari Semenanjung selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 17 Disember lalu.

Menurut Kim Shin, mereka bekerja di 33 syarikat di negara tersebut dalam pelbagai sektor antaranya pembalakan, perkhidmatan peruncitan dan pejabat.

“Mereka ingin kembali ke Malaysia kerana telah tamat kontrak pekerjaan dan terkandas di PNG sejak Oktober lalu kerana tiada penerbangan berikutan pandemik Covid-19.

“Sebelum ini ada penerbangan transit ke Singapura, tetapi ketika ini negara itu tidak membenarkan transit.

“Maka sebuah agensi pelancongan telah menyewa penerbangan langsung iaitu Air Niugini Limited dari Lapangan Terbang Antarabangsa Port Moresby ke LTAK,” katanya semalam.

Bagaimanapun kata Kim Shin, penerbangan sewa berkenaan terpaksa ditunda beberapa kali dalam tempoh 13 hingga 24 November lalu kerana tiada persetujuan mengenai pengesahan Sijil Pengendali Pesawat Asing (FAOC) daripada Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Ini menyebabkan sebilangan penumpang terkandas di Port Moresby sejak 19 November lalu dan kebanyakan mereka berada di pelbagai wilayah di PNG.

“Perkara ini sekali gus menyebabkan mereka menanggung kerugian ribuan dolar untuk perbelanjaan harian sementara menunggu penerbangan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, berikutan pelbagai kesukaran itu, salah seorang rakyat Sarawak di PNG telah meminta pertolongan beliau dengan menghubunginya melalui aplikasi Facebook Messenger.

Kim Shin segera mendapatkan bantuan dengan menghubungi Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia agar mempercepatkan CAAM bagi pengesahan FAOC untuk penerbangan sewa khas itu terus ke Kuching dari PNG.

Selain turut bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk urusan kemasukan kesemua penumpang itu ke Sarawak.

Setibanya di LTAK sekitar jam 8.50 malam, kesemua mereka ditempatkan di pusat kuarantin yang ditetapkan.

Kim Shin merakamkan penghargaan kepada Menteri Pengangkutan Malaysia dan wakilnya atas tindakan pantas serta memuji JPBNS kerana cekap dalam menguruskan semua permohonan kemasukan ke Sarawak.