
SERIAN: Seramai 950 peserta melibatkan 34 kontinjen menyertai Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Serian di sini hari ini.
Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem yang turut menyertai perarakan tersebut memuji semangat perpaduan peserta dan menyeru agar lebih ramai masyarakat menyertai perarakan tersebut pada masa hadapan.
Beliau berkata, acara yang disambut meriah ini turut disertai individu bukan Islam termasuk dirinya sendiri, dan ia jelas menonjolkan konsep Keluarga Malaysia.
“Konsep Keluarga Malaysia sentiasa diamalkan oleh rakyat Sarawak.
“Dengan penyertaan saya, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Semuja John Ilus, ia jelas membuktikan semangat Keluarga Malaysia dalam diri masyarakat di negeri ini,” katanya pada Majlis Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Serian, di sini, hari ini.
Sementara itu, Riot yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan berkata, selaras dengan tema Maulidur Rasul tahun ini, rakyat digesa menjadi pemangkin pembangunan negeri.
Ini kerana, tema Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran dapat memupuk semangat bahawa Keluarga Malaysia mampu menjadi tulang belakang pemangkin kemakmuran negara, ujarnya.
Dalam pada itu, perbarisan turut disertai pelbagai agensi kerajaan dan badan berkanun, firma swasta, institusi kewangan dan syarikat, masjid, jawatankuasa keselamatan dan pembangunan kampung (JKKK) masjid dan surau, persatuan, pertubuhan, orang awam dan institusi pendidikan.
