952 Pelajar di luar S’wak pulang dengan penerbangan khas dari 11 hingga 14 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Bukan senang nak balik kampung apa lagi merentas negeri dalam keadaan Negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19.

Justeru pelajar-pelajar Matrikulasi Sarawak di Semenanjung dan Labuan amat terharu dan berterima kasih terhadap usaha Kerajaan Sarawak melalui Rumah Sarawak di Kuala Lumpur dan Sarawak Volunteers yang membantu mengurus dan mempermudahkan perjalanan pulang mereka antara Selasa (11 Mei 2021) hingga esok, Jumaat (14 Mei 2021).

Di pagi 1 Syawal hari ini, 35 lagi pelajar Matrikulasi Sarawak di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pulang ke Sarawak. Kesemua pelajar berkenaan menaiki pesawat MH2574 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Miri.

Farah Nur Ayuni Fadzil

Mereka terdiri daripada 10 pelajar dari Kolej Matrikulasi Selangor; 8 dari Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor; 8 dari Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan; 6 dari Kolej Matrikulasi Melaka dan 3 dari Kolej Matrikulasi Johor

Pelajar matrikulasi dari Johor, Farah Nur Ayuni Fadzil, 19, dari Kampung Permy Jaya, Miri, berkata walaupun perlu menjalani kuarantin wajib sebaik tiba di Miri, namun mereka sekurang-kurangnya masih berkesempatan balik kampung dalam bulan Syawal dan masih dapat beraya bersama keluarga di rumah selepas habis tempoh kuarantin.

Pelajar Sains yang juga anak kedua dari tiga beradik itu berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak, Kementerian Pendidikan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) kerana membenarkan mereka pulang untuk bersama keluarga.

Bagi Aqilah Husna Abdul Aziz, 19, dari Taman Sri Kubong, Limbang, kepulangan di 1 Syawal amat dinanti-nanti walaupun akan menjalani kuarantin setibanya di Sarawak.

Aqilah Husna Abdul Aziz, 19

Anak ketiga dari lima beradik ini yang juga mengambil pengajian Sains di Johor tidak sabar untuk bertemu ahli keluarganya apa lagi dia satu-satunya anak yang belajar di luar Sarawak.

Bagi anak sulung daripada dua beradik, Hwong Jin Lok, 19, walaupun tidak meraikan Aidilfitri, kepulangan ke Sarawak adalah satu hadiah amat bermakna buat beliau.

Pelajar aliran Sains di Johor ini sangat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak khususnya Rumah Sarawak di Kuala Lumpur yang sangat banyak membantu memudahkan urusan kepulangan mereka.

“Bukan senang nak balik merentas negeri dalam keadaan banyak prosedur perlu dilepasi ketika pandemik. Tapi Rumah Sarawak banyak sangat membantu dan memudahkan urusan kami.

Hwong Jin Lok

“Proses perjalanan yang sukar diuruskan sendiri telah dipermudahkan dengan bantuan Rumah Sarawak. Saya amat berterima kasih,” kata Hwong dari Taman Siang Siang, Miri.

Sementara itu, pasukan dari Rumah Sarawak diketuai Pengarahnya, Awang Supian Awang Daud, turut menghantar pulang pelajar-pelajar berkenaan pagi ini dan mengagihkan makanan dan minuman untuk mereka, sebelum mereka menaiki pesawat dari KLIA ke Miri.

Keseluruhannya seramai 952 Pelajar Matrikulasi Sarawak di Semenanjung dan di Labuan diterbangkan pulang ke Sarawak antara 11 Mei 2021 sehingga 14 Mei 2021.

Kepulangan 35 pelajar matrikulasi Sarawak di KLIA pagi ini.

Suara Sarawak