SEORANG guru di Miri teruja menghasilkan lakaran gambar kerabat diraja yang menyertai Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah.
Sehingga kini Dayang Azyura Abang Yusup berjaya menyiapkan potret Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Menurutnya, selama 96 jam masa diluangkan dengan tumpuan penuh.
Ceritanya lagi, beliau menghasilkan lakaran tersebut menggunakan kaedah digital dan manual detailing.
“Potret Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dalam proses untuk disiapkan.
“Saya berhasrat menyiapkan lakaran potret kerabat diraja termasuk puteri baginda yang menyertai kembara yang begitu bersejarah ini,” kata guru SK Kuala Baram II kepada Suara Sarawak, semalam.
Beliau menyifatkan, ini merupakan caranya menterjemahkan keterujaan terhadap kembara itu.
Apa yang menarik, beliau memilih foto yang tular untuk dilakar semula.
“Sebab itu untuk potret lain masih menunggu gambar terbaik dipilih oleh netizen.
“Seperti gambar tiga putera baginda yang sudah siap, saya memilih foto yang tular di media sosial… fokus posisi di tepi tingkat kereta.
“Dan sebenarnya inilah usaha saya mempertajamkan lagi kemahiran dalam membuat lakaran menggunakan software serta manual detailingnya menggunakan pensel.
“Maka, apabila ada Kembara Kenali Borneo oleh baginda berdua, saya ambil kesempatan untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna,” ujarnya.
Dayang mengakui potret gelagat Tengku Muhammad semasa dalam hujan membuatkannya terharu.
“Belum lagi Tunku Azizah.
Walaupun mengambil masa, tetapi saya mendapat kepuasan dan insya-Allah potret lain akan siap tidak lama lagi.
“Saya secara peribadi teruja dengan Kembara Kenali Borneo oleh Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah,” katanya.
Menurut anak kelahiran Sarikei itu, inilah kali pertama seumur hidup melihat kembara kerabat diraja di tanah Sabah dan Sarawak.
“Semasa di Miri, saya hanya sempat melihat dari jauh ekoran faktor tertentu.
“Tetapi daripada video, gambar di media sosial baginda berdua memang berjiwa rakyat.
Cukup senang didekati
“Justeru, berbaki beberapa hari lagi konvoi… ambillah ruang dan masa bertemu baginda berdua,” tambahnya.
Tahun-tahun mendatang pun katanya, kembara seperti itu wajar diadakan.
“Sekarang pun kita nampak kesannya, merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
“Baginda juga sebagai ketua negara boleh melihat lebih dekat isu yang dihadapi rakyat yang jauh di luar bandar.
“Terima kasih kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kerana sudah merealisasikan hasrat bertemu rakyat dengan hampir siapnya Lebuh Raya Pan Borneo,” tambahnya.