960 kes baharu, tertinggi setakat hari ini

KUCHING: Sarawak hari ini mencatatkan kes positif Covid-19 tertinggi sejak dikesan di negeri ini pada Mac 2020.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sebanyak 960 kes baharu Covid-19 dikesan di Sarawak. “Daripada jumlah tersebut, 896 kes atau 93 peratus adalah yang sudah berada di dalam kuarantin.

“Daerah Kuching melaporkan 370 kes dengan 313 kes (33 peratus) adalah dari Pusat Latihan Polis di Jalan Puncak Borneo namun masih terkawal,” katanya. Beliau berkata demikian ketika pada sidang media harian pandemik Covid-19 di sini hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menambah, di daerah Mukah pula sebanyak 103 kes dilaporkan dengan 99 kes (10 peratus) dari Politeknik Mukah (Kluster Jalan Bambangan, Mukah).

“Selain itu, daripada 960 kes baharu yang dilaporkan, seramai 60 orang telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan Covid-19 semasa saringan dijalankan.

“Daerah-daerah yang melaporkan kes adalah Daerah Kuching (370), Bintulu (175), Mukah (103), Sibu (100), Miri (83), Kapit (24), Belaga (20), Bukit Mabong (13), Serian (9), Selangau (7), Kanowit (6), Sebauh (5), Subis (5), Tatau (5), Marudi (5), Kabong (4), Sri Aman (4), Song (3), Lubok Antu (3), Betong (3), Samarahan (3), Matu (3), Daro (2), Bau (2), Beluru (1), Sarikei (1) dan Tanjung Manis (1),” jelasnya.

Ujarnya, ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 22,920 kes.

Suara Sarawak