ARTIKEL

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata.

97 individu ditahan di seluruh Sarawak, dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 97 individu ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian di seluruh Sarawak dalam satu operasi yang dijalankan dari 25 hingga 26 Mei lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata mereka yang ditahan adalah 75 lelaki dan 22 perempuan dengan rampasan wang tunai sebanyak RM66,591 dan 36 unit telefon pintar.

“Sepanjang tempoh operasi, kita berjaya melaksanakan sebanyak 73 serbuan melibatkan judi dalam talian, loteri awam tanpa lesen dan judi sabong ayam.

“Kertas siasatan juga telah dibuka di bawah Seksyen 4b(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 serta tidak lebih daripada RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.

“Suspek juga boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, kata Mancha, bagi kesalahan di bawah Seksyen 4a(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM200,000 serta dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun.

Bagi kesalahan sabung ayam pula, katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 73(1)(g) Ordinan Veterinar Kesihatan Awam 1999.

“Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada individu yang menganjur dan menjalankan kegiatan perjudian haram berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada dalam usaha membanteras aktiviti perjudian di Sarawak.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian boleh menyalurkan maklumat tersebut melalui ‘hotline’ WhatsApp Ops Dadu di talian 013-5253052,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU