SIBURAN: Seorang ibu dan anaknya berumur dua tahun terselamat dalam kejadian kebakaran di Kampung Cina, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, tindakan pantas seorang jiran telah berjaya menyelamatkan kanak-kanak tersebut yang berada di dalam rumah ketika kebakaran.
Katanya, jumlah sebenar penghuni adalah seramai lima orang namun hanya ibu dan anaknya berada di rumah.
“Kedua-dua mereka terselamat dan tiada mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 8.18 pagi membabitkan rumah struktur tidak kekal berukuran 28 x 33 kaki persegi.
Katanya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan bergegas ke lokasi kejadian sejurus panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi melaporkan rumah tersebut telah musnah 100 peratus,” ujarnya.
Jelasnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.53 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.30 pagi.
