KUCHING: Dalam usaha memelihara khazanah tradisi serta menyemai rasa cinta terhadap warisan seni budaya tempatan seawal usia kanak-kanak, pertandingan Gadis dan Pendekar Cilik Melayu Sarawak dianjurkan buat julung kalinya dengan jayanya.
Pertandingan ini menjadi medan bagi kanak-kanak menonjolkan bakat serta keyakinan diri, selain menjadi platform penting untuk mengetengahkan identiti dan keindahan keperibadian budaya Melayu Sarawak.
Inspirasi penganjuran program ini tercetus daripada pengamatan terhadap keanggunan busana tradisional yang sering digayakan dalam acara rasmi.
Menurut Pengasas AI Dot Com Management merangkap penganjur utama program, Awg Amirul Hafizan Awg Daili, beliau terdorong menganjurkan program ini apabila kerap melihat isteri kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak mengagumkan ramai menerusi gaya dan konsep Puteri Darul Hana setiap kali menghadiri majlis rasmi negeri.


“Inspirasi ini tercetus apabila saya kerap melihat isteri kepada TYT menggayakan konsep Puteri Darul Hana setiap kali menghadiri program rasmi. Ini membuktikan bahawa kita sepatutnya menghargai setiap warisan budaya kita tanpa mengira latar belakang,” ujar Hafizan ketika ditemu bual oleh Suara Sarawak pada acara tersebut di Plaza Merdeka, Ahad.
Beliau menambah, penganjuran edisi sulung ini mendapat sambutan hangat dan meriah daripada pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya dalam kalangan ibu bapa.
Seramai 21 peserta kanak-kanak mengambil bahagian dan menunjukkan kesungguhan luar biasa sepanjang pertandingan berlangsung.
Program ini dibahagikan kepada tiga kategori utama, iaitu Kategori Gadis Cilik A yang melibatkan kanak-kanak berusia empat hingga sembilan tahun, Kategori Gadis Cilik B bagi peringkat umur 10 hingga 15 tahun, serta Kategori Pendekar yang dikhususkan untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.
Mengulas mengenai kriteria penilaian, Hafizan menjelaskan bahawa barisan juri profesional menilai peserta berdasarkan pelbagai aspek holistik, bukan sekadar penampilan atau cara berjalan di atas pentas.
Antara elemen utama yang diberi perhatian termasuk ketepatan busana tradisional, teknik peragaan, keperibadian, aura penampilan, kreativiti, kekemasan serta sokongan undian.
Bagi pihak penganjur, pendedahan seperti ini amat penting bagi memastikan generasi cilik memahami dan menghargai akar umbi warisan budaya mereka.
“Bagi kanak-kanak, biarlah mereka mengenali akar umbi budaya Melayu Sarawak tanpa mengira warna kulit mahupun adat resam. Ini kerana budaya harus sentiasa dijaga dan warisan perlu dijulang demi membudayakan keindahan keperibadian masyarakat Melayu Sarawak,” katanya.
Lebih daripada sekadar persembahan di atas pentas, program ini direka khas untuk membina sahsiah, keberanian, disiplin serta kemahiran komunikasi dalam diri setiap peserta.
Sebelum tampil di hadapan umum, peserta dibekalkan dengan bimbingan dan latihan asas mengenai etika, kesopanan, adab berkomunikasi, bahasa tubuh serta cara memperagakan busana secara sopan dan bertata susila.
Pendedahan ini secara tidak langsung membantu membina keyakinan diri serta memupuk rasa bangga terhadap identiti budaya sendiri.
Apabila ditanya mengenai cabaran mengendalikan peserta yang masih di peringkat kanak-kanak, Hafizan melahirkan rasa syukur atas komitmen padu yang ditunjukkan oleh para ibu bapa.
Beliau menyifatkan proses latihan berjalan lancar dan menyeronokkan ekoran kerjasama erat antara penganjur dan ibu bapa, terutamanya menerusi saluran komunikasi digital yang disediakan untuk memudahkan bimbingan di rumah.

Beliau turut berkata, program Gadis dan Pendekar Cilik Melayu Sarawak mempunyai matlamat yang berbeza berbanding pertandingan ratu cantik kanak-kanak biasa.
“Pertandingan ini sangat berbeza kerana prinsip penganjurannya masih berlandaskan khazanah warisan yang perlu dipelihara. Ia merupakan satu pendedahan serta proses pembelajaran bagi generasi muda untuk mengenal pakaian tradisi dan seterusnya membina sahsiah diri sebagai rakyat Sarawak,” jelas beliau.
Kemuncak acara menyaksikan sembilan peserta dinobatkan sebagai pemenang bagi tiga kategori yang dipertandingkan.
Bagi Kategori Gadis Cilik A (empat hingga sembilan tahun), Aaira Inara Putit, enam, muncul juara, diikuti Arianna Cassandra Henry, tujuh, sebagai naib juara dan Nurain Mikayla Mohammad Fadilah, enam, di tempat ketiga.
Sementara itu, Kategori Gadis Cilik B (10 hingga 15 tahun) menyaksikan Siti Nur Qaseh Aleya Mahmud Zainal Abidin, 15, dinobatkan sebagai juara.
Nur Nia Ramadhani Nur Hisyam, 11, meraih naib juara manakala Nur Qistina Batrisya, 12, menduduki tempat ketiga.

Bagi Kategori Pendekar, Muhamad Irfan Hanif, enam, muncul juara, manakala Muhamad Airish Zaffran Syahid Akmal, 10, meraih naib juara dan Muhammad Firash Danish Yusri, lapan, di tempat ketiga.
Melihat kepada sambutan menggalakkan serta impak positif terhadap pembentukan sahsiah peserta, pihak penganjur menyasarkan untuk menjadikan program Gadis dan Pendekar Cilik Melayu Sarawak sebagai acara tahunan pada masa akan datang.
Langkah itu diharapkan dapat terus memelihara tradisi tempatan, di samping melahirkan generasi muda yang berkeyakinan tinggi, berdisiplin dan berintegriti dalam menjulang warisan budaya bangsa.



