KUCHING: Persidangan Persatuan Pengurusan Sukan Asian (AASM) 2023 membuktikan kesungguhan kerajaan dalam membangunkan industri sukan, kata Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata, ia kerana industri sukan mampu menjadi penggerak kepada pertumbuhan ekonomi.
Justeru katanya, semua pihak dalam industri sukan perlu diperkasakan dengan pengetahuan pengurusan sukan untuk mencapai pembangunan yang mampan.
“AASM 2023 menampilkan penceramah antarabangsa dan tempatan yang terkenal daripada pelbagai disiplin yang akan berkongsi pandangan dan perspektif dalam isu penting yang dihadapi oleh industri sukan antarabangsa dan tempatan.
“Kita percaya dalam memperkasakan komuniti industri sukan dalam negara untuk membuat perubahan dasar utama dan pelaksanaan untuk kemajuan sukan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng sempena Majlis Makan Malam Gala AASM 2023 di sebuah hotel di sini malam tadi.
Tambahnya, persidangan yang bertemakan ‘Industri Sukan Asia dan Agenda Kelestarian: Tindakan dan Pendidikan melalui Sukan’ adalah penting bagi urusetia dan pasukan dalam melangkah lebih jauh.
Justeru beliau berharap pengetahuan pengurusan sukan kepada rakyat Malaysia dapat diperluaskan kepada komuniti sukan seluruh dunia.
Turut hadir, Presiden AASM Dr Cheng-Nan Kang, Presiden Persatuan Pengurusan dan Pentadbiran Sukan (SMAS) Mejar (B) Muhammad Abdullah dan Penasihat SMAS Dr. Wirdati Mohd Radzi.