ARTIKEL

Abal Hakim, wakil Malaysia ke Certiport’s Adobe Certified Professional World Championship 2023 

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelajar tahun satu Pengajian Seni Kreatif UiTM Sarawak, Muhammad Abal Hakim Abal Mukam akan mewakili Malaysia ke ‘Certiport’s Adobe Certified Professional World Championship 2023’ di Orlando, Amerika Syarikat yang berlansung 28 Julai hingga 3 Ogos.

Pemuda berusia 19 tahun berasal dari Kampung Gadong, Beaufort, Sabah itu terpilih mewakili negara setelah memenangi tempat kedua dan mendapat anugerah ‘People Choice Award’ dalam pertandingan ‘CCC’s Adobe Certified Professional Malaysia National Championship 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur 1 Jun lepas.

Muhammad Abal berkata, beliau berharap pertandingan yang bakal disertainya kelak dapat memberi pengalaman baharu dan loncatan besar pada dirinya.

Malah katanya, ini merupakan kali pertama buat dirinya menyertai pertandingan antarabangsa.

“Ia sama seperti pertandingan kebangsaan namun kali ini akan lebih ramai peserta dari seluruh negara, justeru persekitarannya akan lebih berbeza.

“Dalam pertandingan ini, kami akan diberi tugasan untuk mereka bentuk poster berdasarkan kriteria pelanggan,” katanya ditemui media di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), di sini hari ini.

Muhammad Abal turut mendapat tajaan RM20,000 dari Kerajaan Sabah yang disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Dalam pada itu, anak ketiga dari empat adik beradik itu memberitahu, beliau mempunyai pengalaman dalam seni reka kerana sering membuat ilustrasi sejak kecil.

“Saya banyak menyertai pertandingan seni kerana ayah saya. Ayah saya membawa saya ke beberapa pertandingan di Sabah,” ujarnya.

Muhammad Abal dalam masa yang sama turut menzahirkan penghargaan kepada pensyarahnya kerana membimbing dan membantunya dalam persiapan untuk pertandingan tersebut.

Turut hadir, Ketua Pusat Pengajian Seni Lukis, Seni Reka, Seni Bina, Perancangan dan Ukur Dr Asmah Alia Mohd Bahari dan Penyelaras Program Seni Reka Grafik dan Media Baru Clement Jimel.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU