Abang Bomba selamat si meow

SARIKEI: Seekor kucing yang terperangkap di atas tingkap sebuah bangunan diselamatkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat dalam satu operasi khas di Jalan Hua Tai petang kelmarin.

Ketua Balai Bomba Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 6.03 petang.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota ke lokasi dan mendapati terdapat seekor kucing di atas tingkap bahagian tepi bangunan berkenaan.

“Kami mendirikan tangga dengan tiga sambungan pada dinding bangunan itu sebelum berjaya menyelamatkan haiwan comel itu,” katanya.

Beliau berkata, operasi khas itu bermula pada jam 6.06 petang dan berakhir sembilan minit kemudian.
Kucing itu dipercayai terperangkap ketika bermain sebelum terjatuh ke atas tingkap bangunan tersebut.

Dalam pada itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali Jamal, 18, terharu dengan kesungguhan anggota bomba yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri sendiri demi menyelamatkan haiwan terbabit.

“Tanpa Bomba, kucing ini boleh terperangkap lebih lama atau mungkin mati kelaparan di atas tingkap itu,” katanya.

Anggota Bomba Sarikei membawa turun seekor kucing yang terperangkap di atas tingkap sebuah bangunan di Jalan Hua Tai Sarikei.

 

Kucing terperangkap berjaya diselamatkan

Suara Sarawak