Abang hormati adik

PRESIDEN Sarawak United FC (SUFC), Datuk Posa Majais mengingatkan para pemain agar tidak mengambil mudah perlawanan menentang Kuching City FC (KCFC) di Stadium Hang Jebat malam Selasa.

“Kita tetap menghormati pasukan Kuching City FC sebagai adik.

“Namun, pemain juga diingatkan agar kekal fokus dalam melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin untuk menggapai misi beroleh kemenangan ketiga,” ujar Posa kepada Arena Suara Sarawak.

Menurutnya, kelebihan rehat lima hari SUFC tidak bermakna mereka akan lebih segar.

Sebaliknya, percaya skuad KCFC juga mahu bangkit daripada kekalahan 3-1 kepada JDT II Sabtu lalu.

“Apa yang diharapkan ialah perlawanan lebih harmoni walaupun sasaran kedua-dua pasukan sama,” upar Posa.

SUFC kini burada di tangga kedua, dan hanya perlu seri untuk kembali merampas kedudukan teratas.

Mereka cemerlang dalam dua aksi pertama, mengalahkan Kelantan United 2-0 dan membenam Perak II 3-0.

Uche Agba telah pun menyumbat tiga gol setakat ini, manakala dua lagi gol masing-masing disumbangkan oleh Norshahrul Idlan Talaha dan Jayaseelan.

Jurulatih SUFC, E. Elavarasan dijangka akan melakukan sedikit rombakan malam ini, dengan kemungkinan memasukkan dua import asing, Sandro Da Silva dan Stuart Wark.

Yang pasti, dua lagi import, Taylor Regan dan Lee Chang Hoon akan terus mengisi slot pertahanan dan tengah.

 

Suara Sarawak