Abang Johari bersetuju dengan jawapan bertulis Tun M

Akta Hasutan tepat untuk pendesak keluar Malaysia

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersetuju agar tindakan di bawah Akta Hasutan perlu diambil terhadap kumpulan yang mencadangkan agar Sarawak keluar dari Malaysia jika ia menimbulkan kekacauan dari segi ketenteraman awam.

Abang Johari berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau secara bertulis kelmarin.

“Ya. Kita tidak boleh memperlekeh kedaulatan negara. Saya bersetuju dengan beliau (Tun M).

“Perlu ada limitasi. Sebab sekali anda menyentuh kedaulatan, ia boleh mencetuskan situasi anarki yang serius. Saya bersetuju dengan Dr Mahathir,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Program Penajaan Pendidikan Petronas 2019 di sini semalam.

Foto Nadim Bokhari

Tun M sebelum itu memberitahu Parlimen, peruntukan di bawah Akta Hasutan akan hanya digunakan sekiranya keadaan yang ditimbulkan kelompok ini tidak terkawal sehingga menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Katanya, ketika ini kerajaan masih melaksanakan kebebasan bersuara seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 1, Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Lau sebelum itu bertanyakan apakah tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang menyeru kepada Sarawak keluar dari Malaysia dan apakah ia dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

Menurut Tun M lagi, tidak ada peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 atau Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan yang menyentuh mana-mana hak Sabah dan Sarawak untuk keluar Malaysia.

Tegasnya, hak untuk memisahkan diri dari Malaysia juga tidak dicadangkan untuk terma dalam pembentukan Malaysia, seperti yang dapat dilihat dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold.